Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 bermula hari ini mencatat sejarah apabila pentas itu buat kali pertama turut menjadi platform yang menawarkan lebih 7,000 peluang pendidikan bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada golongan muda khasnya Bumiputera meningkatkan kemahiran masing-masing. 

Ini kerana urus setia perhimpunan yang mengumpulkan perwakilan UMNO daripada 191 bahagian seluruh negara itu, turut mengambil inisiatif menganjurkan Program Eksplorasi Kerjaya TVET di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata program pemerkasaan TVET itu diadakan bersekali dengan PAU 2024 bagi membuktikan agenda membantu golongan muda Melayu dan Bumiputera meningkatkan ekonomi melalui pendidikan terbabit, sentiasa menjadi fokus perjuangan parti itu.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata, kajian mendedahkan 95 peratus daripada 30,000 pelajar yang keciciran dengan tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 280,000 pelajar yang gagal melanjutkan pelajaran selepas SPM adalah orang Melayu.

Susulan itu, katanya, UMNO tidak akan mendiskriminasi mereka ini dengan menyediakan bantuan sewajarnya supaya boleh meneruskan kehidupan dengan lebih baik, sekali gus mengelak kumpulan itu terbabit dengan masalah sosial negara.

“UMNO fokus pada agenda berorientasikan rakyat dan kita tetap mengutamakan perjuangan mengangkat martabat Melayu dan Islam, tanpa mengetepikan kepentingan masyarakat lain juga.

“Sebab itu, kita prihatin terhadap masa depan golongan muda Melayu yang keciciran dalam pelajaran. Jadi, buat kali pertama kita adakan Program Eksplorasi Kerjaya TVET sempena PAU 2024 ini dan medium itu boleh digunakan untuk mereka mendapatkan maklumat dan peluang pendidikan untuk memajukan diri.

“TVET ini dekat di hati pemimpin UMNO kerana ia adalah ‘bayi’ yang lahir hasil air tangan mereka bagi memperkasa pelajar supaya ada jaminan keselamatan masa depan mereka.

“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya 15,000 ahli parti dan anak muda berhimpun di WTCKL sempena PAU dan menerusi eksplorasi TVET, kita menyediakan lebih 7,000 peluang pendidikan kepada mereka yang berminat menyambung pengajian dalam bidang terbabit di bawah institusi MARA,” katanya kepada BH.

Asyraf Wajdi berkata, MARA mempunyai 270 institusi yang menawarkan peluang pendidikan TVET bagi kemasukan bermula September ini.

Beliau berkata, program eksplorasi yang dianjurkan ini pula adalah susulan daripada Sambutan Hari TVET Negara 2024 dan pelancaran dasar TVET Negara 2030 bagi menyebarluaskan potensi bidang pendidikan itu bagi memacu ekonomi dan kemajuan negara.

“Tanggungjawab melaksanakan program pemerkasaan TVET diberikan kepada Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara.

“MARA yang berada di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pula menjadi agensi juara dalam memberikan peluang kepada pelajar Melayu dan Bumiputera meneruskan pengajian dalam bidang TVET,” katanya.

Pada masa sama, Asyraf Wajdi berkata, sebanyak 3,525 peluang pengajian dibuka di UniKL bagi pengambilan September ini dan 3,800 bagi pengambilan Januari tahun depan di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), MARA Japan Industrial Institute (MJII) dan Institut Kemahiran MARA (IKM).

Beliau berkata, pihaknya melalui MARA bersedia menggalas tanggungjawab melatih pelajar Melayu dan Bumiputera dan ia selari dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memberi tanggungjawab kepada majlis itu untuk melatih 60,000 tenaga kerja.

“Program eksplorasi itu akan memfokuskan kepada empat elemen utama iaitu pameran teknologi dan kerjaya, pameran kisah kejayaan ikon TVET, bual bicara ikon TVET dan konsultansi latihan serta kerjaya,” katanya.

Beliau berkata, ia akan mengetengahkan pameran teknologi berdasarkan sembilan sektor dengan MARA mengendalikan lima kluster iaitu kluster teknologi aeroangkasa Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan teknologi pembuatan termaju.

Katanya, selain itu, MARA juga mengetuai teknologi robotik dan internet kebendaaan (IoT) Bahagian Kemahiran Teknikal (BKT), teknologi multimedia kreatif, dan teknologi rel.

“Sementara bagi kluster lain iaitu teknologi automotif ia dikendalikan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT); teknologi perladangan moden bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

“Kluster teknologi pertanian dan penternakan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), manakala teknologi pembinaan dan tenaga boleh diperbaharui (Kementerian Kerja Raya).

“Pameran kisah kejayaan dan sesi bual bicara ikon TVET pula akan berperanan sebagai bukti konkrit potensi bidang itu dalam membina kerjaya dan menjana pendapatan dengan kisah kejayaan mereka akan dipamerkan dalam program ini,” katanya.

Beliau berkata, elemen konsultansi latihan dan kerjaya akan memfokuskan kepada aktiviti khidmat nasihat berkaitan pemilihan bidang latihan, institusi latihan dan perancangan laluan kerjasa. 

Katanya, sesi konsultansi ini membabitkan kepakaran tenaga pengajar TVET merentasi pelbagai kementerian dan tenaga mahir industri untuk memberi pencerahan kepada pengunjung berkaitan bidang diminati.

“Pameran teknologi menerapkan konsep ruang terbuka dengan setiap kluster teknologi dipamerkan di Dewan Tun Hussien Onn,” katanya.

Sementara itu, mengenai PAU 2024, Asyraf Wajdi berkata, antara usul yang paling banyak diterima adalah membabitkan isu ekonomi, kos sara hidup dan perkara berkaitan pendidikan.

Beliau berkata, berdasarkan usul dibawa khususnya dalam aspek kos sara hidup, adalah penting untuk kerajaan memastikan kuasa membeli rakyat sentiasa ada.

“Usul turut membabitkan bagaimana rakyat harus tangani dalam konteks keciciran, ini terkait dengan agenda Presiden melalui TVET, sebab itu antara agenda besar kita lakukan di UMNO adalah dasar TVET.

“Malah presiden sentiasa menyebut bukan fokus soal gaji minimum, namun gaji premium bagi mereka yang mempunyai kemahiran dikehendaki industri.

“Sebanyak 1,345 institusi TVET untuk diselaraskan kementerian adalah penting selain memastikan kurikulum dan modul latihan institusi bidang itu mempunyai orientasi kepada industri,” katanya.-BH Online