Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri semalam membuktikan rakyat Kelantan menerima kesepakatan yang terhasil menerusi gabungan Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kemenangan itu juga adalah penzahiran kepercayaan rakyat yang semakin menyesuaikan diri dengan gelombang perubahan di bawah Kerajaan MADANI, selaras petanda lonjakan ekonomi negara yang kian mekar sejak akhir-akhir ini.

“Insya-Allah, kemenangan ini menjadi suntikan moral untuk Kerajaan MADANI tekal dalam usaha memelihara kebajikan rakyat dan menjulang kemakmuran negara ke tingkat tertinggi,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut mengucapkan tahniah kepada calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghan, atas kemenangan diperoleh.

Pada PRK semalam, BN merampas kembali kerusi tradisinya itu di Kelantan, selepas calonnya menang menewaskan calon PN dalam saingan satu lawan satu.

Azmawi, 38, memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya daripada PN, Mohd Rizwadi yang meraih 5,739 undi.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan Bahagian Gua Musang yang mesra dengan panggilan Awie, menang dengan majoriti 3,352 undi.

Berdasarkan keputusan kiraan, BN memenangi 17 daripada 20 pusat daerah mengundi (PDM), manakala PN menguasai tiga PDM. 

Kemenangan itu sekali gus membolehkan BN yang kini menjadi pembangkang di DUN Kelantan menambah satu lagi kerusi, selain di DUN Galas dan Kota Lama.-BH Online