Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

NEW DELHI: Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke India minggu depan akan memberi peluang kepada negara ini untuk meningkatkan hubungan dengan Malaysia, menurut Kementerian Luar India.

Jurucakap kementerian itu, Randhir Jaiswal, berkata India berharap kerjasama dengan Malaysia dapat dibawa ‘ke tahap lebih tinggi.’

“Lawatan ini akan memberi peluang untuk menilai semula dan memperkukuh hubungan kami merentasi pelbagai bidang,” katanya pada taklimat media, hari ini.

Beliau turut mengimbau lawatan Anwar ke India pada 2019 untuk menyertai satu persidangan di New Delhi dan bertemu Perdana Menteri India, Narendra Modi, ketika itu.

“Kami amat menantikan lawatan Perdana Menteri Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, satu pengumuman rasmi akan dibuat berhubung perkara itu, esok. – BERNAMA