KUALA LUMPUR, 16 Ogos– Kepimpinan mahasiswa perlu berani menyuarakan pandangan berkaitan isu nasional dan global bagi memperkasakan golongan itu ke peringkat lebih tinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ke arah itu, peluang dan ruang diberikan kerajaan harus direbut dalam meneruskan legasi kepimpinan terutama dalam membangunkan negara.
“Saya tidak lagi muda, tetapi saya boleh belajar tentang masa lalu dan untuk mengingatkan anda. Gunakan peluang ini belajar sebanyak mungkin berinteraksi, tetapi tetap teguh.
“Harus berdiri dan bersuara dan memperjuangkan perjuangan kemanusiaan, penderitaan rakyat kita, yang terpinggir, yang miskin, kesusahan kita, keprihatinan kita, kemusnahan alam sekitar, rasuah di tengah-tengah kita, kebimbangan kita”, kata Datuk Seri Anwar.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena perasmian Program International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE 2024) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
iFUTURE 2024 melibatkan penyertaan lebih 1,000 pimpinan mahasiswa tempatan dan antarabangsa memfokuskan kepada keterampilan serta pembentukan generasi mahasiswa sebagai pelapis pemimpin negara.-Berita RTM