Kuala Lumpur: Generasi muda perlu berani bersuara dalam memperjuangkan isu kemanusiaan, penderitaan rakyat, golongan terpinggir, kemiskinan, rasuah serta isu nasional lain, supaya dapat melakukan perubahan pada masa depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, generasi muda akan terus bergelut dengan belenggu hutang, kemiskinan walaupun negara semakin maju sekiranya mereka tidak melakukan apa-apa tindakan.
“Golongan muda perlu tegas dan berani bersuara menegakkan isu kemanusiaan, penderitaan rakyat, isu masyarakat terpinggir, kemusnahan alam sekitar, rasuah dan lain-lain.
“Masyarakat kita memerlukan generasi pelapis yang mempunyai penuh idea, cita-cita dan keutamaan, percaya kepada kebebasan, keadilan serta kemanusiaan seiring dengan perkembangan masa.
“Untuk populasi negara, masih ada jurang (gender), kemiskinan, golongan terpinggir dan seharusnya anak muda berani, bersuara mengenai isu yang menjadi perhatian, keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Antarabangsa (iFUTURE 2024) di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Sehubungan itu, Anwar berharap mahasiswa yang menyertai program iFUTURE 2024 menggunakan peluang dengan sebaiknya untuk bertukar pandangan berlandaskan prinsip masing-masing.
“Saya bangga semangat yang ditunjukkan, kita harus guna ruang ini sebaik mungkin, memanfaatkan waktu, membina silaturahim, menimba pengalaman dengan teman-teman dan pertahan cita-cita murni dan idealisme (masing-masing).
“Apalah erti hidup tanpa pegangan prinsip dan nilai, apa erti kekayaan dan ilmu kalau tidak dijadikan nilai yang baik sebagai paksi,” katanya..
Program iFUTURE 2024 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bermula hari ini hingga Ahad, inisiatif memastikan generasi pelapis pemimpin negara didedahkan dalam pelbagai isu nasional dan global.
Program itu membabitkan lebih 1,000 pemimpin mahasiswa tempatan dan antarabangsa daripada 46 negara ini adalah komitmen KPT dalam menyediakan wahana dan peluang kepada mahasiswa untuk penyerlahan bakat kepimpinan, meningkatkan kualiti keilmuan, mengukuhkan keterampilan dan kemahiran pengucapan awam.
Penganjuran julung kali itu juga menjadi pentas menemukan pemimpin mahasiswa tempatan dan antarabangsa, kepimpinan sektor pendidikan tinggi negara serta menteri Kabinet yang akan berdiskusi dalam tujuh sesi forum.-Harian Metro Online