SHAH ALAM: “Tidak terkira ucapan terima kasih yang ingin saya sampaikan kepada Malaysia, tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” demikian luahan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali kepada kerajaan yang memberikan bantuan rawatan kepada rakyatnya yang menjadi mangsa kekejaman regim Zionis.
Walid berkata, Malaysia adalah antara negara terawal dari Asia yang menawarkan bantuan merawat penduduk Semenanjung Gaza yang menjadi mangsa kekejaman Israel. null
“Kata-kata sahaja tidak cukup untuk menyampaikan rasa terima kasih dan penghargaan saya kepada rakyat Malaysia.
“Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila mengumumkan Malaysia akan menawarkan rawatan kepada penduduk Palestin yang mengalami kecederaan,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Pertahanan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, petang tadi.
Beliau berkata, rakyat Palestin yang ditawarkan untuk menjalani rawatan di negara ini pastinya akan merasakan Malaysia sebagai rumah kedua mereka.
Sementara itu Duta Besar Mesir ke Malaysia, Ragai Nasr berkata kejayaan misi membawa rakyat Palestin yang cedera akibat konflik di Gaza ke negara ini adalah hasil hubungan erat antara Presiden Mesir dan Perdana Menteri Malaysia.
“Sebagai Duta Besar, saya dan kerajaan (Mesir) bersedia membantu Malaysia demi mengutamakan nasib rakyat Palestin dalam memastikan mereka menerima segala bentuk bantuan yang ditawarkan.
“Kami bersedia pada bila-bila masa untuk melancarkan segala proses misi,” katanya.-BH Online