Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GUA MUSANG, 15 Ogos- Rata-rata pengundi di Dewan Negeri (DUN) Nenggiri mahu orang muda diangkat sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung pada Sabtu ini.

Mereka menyifatkan calon muda lebih ‘segar’ dalam membawa perubahan dan mencari penyelesaian terhadap isu-isu pembangunan, ekonomi serta pendidikan.

Penduduk Nenggiri, Mohd Abdul Ghani yakin wakil rakyat yang muda mampu menyelesaikan masalah rakyat dengan lebih baik dan berkesan.

“Untuk masa depan rakyat, rasa lebih baik pilih yang muda dan yang boleh buat kerja… mesra rakyat dan mesra segala-galanya. (Jadi) lebih baik kita pilih yang macam ini, untuk masa depan kita, anak cucu kita untuk hari ini dan akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Sementara itu, Zulkifli Mohammad dan Aminuddin Harun pula percaya kekuatan wakil muda dapat membangunkan ekonomi setempat, sekali gus membuka peluang pekerjaan lebih banyak untuk penduduk sekitar.

“Calon yang diketengahkan sekarang ini, (ada) calon yang ‘mudoh baso’ (mudah bekerjasama) yang selalu mendengar rintihan rakyat sini. Kalau ada apa-apa (yang berlaku di sini) dia sampai dulu,” kata Zulkifli Mohammad, penduduk.

“Kita harap dia (calon muda) itu boleh tolong untuk kemajuan kampung daripada segi pelajaran, pekerjaan, kehendak belia-belia di sini. (Saya yakin) dia memang boleh tolong,” kata Aminuddin Harun, penduduk.

PRK Nenggiri yang ditetapkan hari mengundi Sabtu ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).