Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Tanggungjawab dan amanah kini dipikul pula jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dalam misi merealisasikan impian negara memenangi pingat emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024.

Berbekalkan reputasi selaku pemenang pingat gangsa di Olimpik Rio 2016 dan perak di Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin, pelumba berusia 36 tahun itu yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ hanyalah satu-satu harapan negara untuk membawa pulang pingat emas di Paris 2024.

Selain Azizulhasni, cabaran skuad berbasikal trek negara turut akan digalas Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang akan memulakan cabaran di Velodrom Saint Quentin en Yvelines Velodromem, esok.

Ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley berkata, Azizulhasni yang akan membuat penampilan kelima di pentas Olimpik sudah biasa menggalas tanggungjawab besar untuk negara.

“Azizul menangani tekanan dengan sangat baik. Adakah dia merasainya? Sudah tentu dia merasainya, dia merasakan seperti memikul beban Malaysia di bahunya.

“Tetapi itu kerana dia seorang juara, dia mahu menang untuk Malaysia dan untuk dirinya sendiri, dia suka untuk bersaing.

“Tekanan, bagaimanapun, adalah perkara yang baik. Ia bermakna anda diletakkan sebagai pencabar. 

“Ia lebih kepada bagaimana anda menangani tekanan itu dan dia (Azizulhasni) menanganinya dengan baik dengan mengetahui betapa dia sudah melakukan segala-galanya untuk bersaing dan hanya fokus dalam setiap perlumbaan.

“Jika dia kalah, dia akan kecewa biarpun dia memproses perkara itu dengan cepat. Dia menilai dan melihatnya semula dan kemudian bergerak ke hadapan. Itulah yang dilakukan oleh juara.

“Dia sudah menjadi seorang atlet yang luar biasa selama 17 tahun lalu. Saya tahu rakyat Malaysia bangga dengannya,” katanya.

Skuad berbasikal trek negara sebelum ini menghabiskan masa selama dua bulan menjalani latihan dan menyertai kejohanan di Belgium dan Sepanyol sebagai persiapan menghadapi temasya di Paris 2024.

Ketiga-tiga pelumba negara itu tiba di perkampungan sukan di Paris, Khamis lalu.-Harian Metro Online