PUTRAJAYA: Kekuatan ekonomi domestik serta dasar kurang popular seperti penyasaran subsidi yang dilaksanakan kerajaan meningkatkan keyakinan pelabur sekali gus menyumbang kepada pengukuhan ringgit.
Ringgit mengukuh dan mencatatkan rali peningkatan sejak 11 hari lalu, sekali gus menjadikannya suatu tempoh rali terpanjang dalam tempoh 14 tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keadaan itu turut dibantu hasil usaha dan peranan yang dimainkan pelbagai pihaknya khususnya Kementerian Kewangan serta agensi di bawahnya.
Katanya, situasi ekonomi dan ringgit ketika ini dalam kedudukan sangat meyakinkan walaupun keadaan geopolitik dunia agak membimbangkan.
“Kalau kita lihat angka, tetapi kenyataannya tidak boleh dimungkiri iaitu kekuatan ringgit ketimbang 14 tahun (lalu) sangat membanggakan, t
“Tentu ada sebab (dan) faktornya, kenapa ada keyakinan? Kerana kekuatan ekonomi domestik, langkah diambil, jadi ini kalau tonggaknya, tentulah keluarga Kementerian Kewangan,” katanya menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Kementerian Kewangan hari ini.
Ringgit hari ini dibuka kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disebabkan prospek penurunan kadar faedah AS semakin ketara, kata seorang penganalisis.
Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.4200/4300 berbanding dolar US daripada 4.4240/4305 pada Isnin.
Tahun ini, ringgit mencatatkan kenaikan yang memberangsangkan, meningkat 4.1 peratus berbanding dolar US, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.
“Dalam pada itu, ringgit melonjak berbanding mata wang serantau, naik 10.5 peratus berbanding won Korea Selatan, 9.5 peratus berbanding rupiah Indonesia, 8.6 peratus berbanding peso Filipina, 7.8 peratus berbanding baht Thailand dan 4.4 peratus berbanding dolar Singapura.
“Bagaimanapun, aktiviti pengambilan untung yang tidak menentu mungkin berlaku kerana peniaga mungkin terdorong mengambil keuntungan untuk sementara waktu,” katanya.
Mohd Afzanizam menjangkakan ringgit kekal sekitar RM4.42 hingga RM4.43 berbanding dolar AS hari ini.
Kerajaan laksana reform hentikan ketirisan
Anwar berkata, kesediaan kerajaan melaksanakan ‘reform’ ekonomi, menghentikan ketirisan dan memerangi rasuah sehingga memberi keyakinan kepada pelabur.
Katanya, begitu juga dalam melaksanakan penyasaran subsidi bertujuan menghentikan kebocoran serta penyeludupan.
“Penyasaran subsidi yang menyebabkan saya terutamanya, dimaki berbakul-bakul tetapi penyasaran subsidi seperti yang kita tahu, semua Perdana Menteri sebelum ini, hampir semua parti sebelum ini dalam kerajaan setuju harus hentikan kebocoran.
“Saya tak faham kenapa orang politik pertahankan penyeludupan, kenapa izinkan ketirisan berbilion ringgit tetapi untuk menolak prinsip penyasaran subsidi, itu tentunya kurang bijak, kurang waras,” katanya.
Perdana Menteri berkata, apabila tidak lagi ada ketirisan, wujudnya Akta Tanggungjawab Fiskal serta pelaksanaan penyasaran subsidi menyebabkan pelabur tahu bahawa itu adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan bersedia mengambil tindakan tidak popular untuk menyelamatkan ekonomi negara.
“Siapa tidak mahu popular, siapa tidak mahu senang, jadi belanja sahaja, nak duit bagi, kita masih boleh hutang, kita bukan dalam keadaan parah sangat, boleh hutang RM3 bilion, RM4 bilion, apa salahnya tetapi apakah itu dasar ekonomi yang bertanggungjawab?” soalnya.
Justeru, beliau berkata, keluarga Kementerian Kewangan seharusnya lebih faham berbanding orang lain yang tidak terdedah dengan fakta berkenaan.
“Sebab itu saya katakan media kementerian pun harus lebih agresif dan proaktif untuk menjelaskan, kita tidak boleh menyalahkan orang kerana tidak mengerti kerana kita tidak memainkan peranan untuk mendidik mereka pencerahan mengenai ekonomi.
“Kita tahu bahawa penyasaran subsidi itu dipermainkan, saudara tahu itu kerana dibicarakan oleh tokoh politik, kedudukannya besar, pernah jadi menteri atau menteri besar tetapi apabila dia berucap, tidak pernah memikirkan fakta, dia gunakan bakar sentimen dan perasaan,” katanya.-BH Online