Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Meta Platforms Inc (Meta) hari ini memohon maaf kerana menurunkan hantaran ucapan takziah melalui akaun rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di platform Facebook dan Instagram berhubung pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh. 

Menurut jurucakap Meta, ia adalah ‘kesilapan operasi’ dengan hantaran terbabit sudah dimuat naik semula menggunakan label berita yang sahih.

Gergasi media sosial Amerika Syarikat (AS) menamakan gerakan Islam Palestin yang mentadbir Gaza, Hamas sebagai ‘organisasi berbahaya’ dan melarang kandungan berunsur positif berkaitan kumpulan itu. null

Ia menggunakan gabungan pengesanan automatik dan semakan daripada kakitangan kawal selianya untuk mengalih keluar atau melabel visual grafik.

Pada 31 Julai lalu, Anwar menerusi akaun rasmi Facebook dan Instagramnya memuat naik rakaman video panggilan telefonnya dengan seorang pegawai Hamas untuk mengucapkan takziah atas kematian Haniyeh. 

Anwar turut menyiarkan gambar pertemuan terakhirnya dengan Haniyeh di Qatar pada Mei, berserta ucapan takziah.

Kerajaan menyelar tindakan itu sebagai tidak adil, satu diskriminasi dan penindasan ke atas kebebasan bersuara. 

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan kakitangan Pejabat Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dengan wakil Meta semalam bagi mendapatkan penjelasan.

Dalam insiden sama pada Mei lalu, Meta memuat naik semula catatan Facebook Anwar berhubung pertemuannya dengan Haniyeh dengan mendakwa ia diturunkan secara tidak sengaja.

Malaysia yang majoriti rakyatnya beragama Islam dan juga penyokong tegar perjuangan Palestin memberi amaran bahawa tindakan tegas boleh diambil terhadap Meta dan syarikat media sosial lain jika mereka menyekat kandungan pro-Palestin.-BH Online