Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GUA MUSANG: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berjanji akan melakukan yang terbaik untuk masyarakat di kawasan itu.

Justeru, Mohd Azmawi Fikri yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan meminta pengundi di kawasan itu memberi peluang kepadanya untuk menjadi wakil rakyat.

“Kepada semua pengundi Nenggiri, jika saya diberi peluang jadi wakil rakyat, saya akan lakukan yang terbaik.

“Saya akan bekerja keras untuk memenangi hati pengundi di kawasan ini,” katanya pada sidang media di Pusat Penamaan Calon PRK DUN Nenggiri di Dewan Perdana Majlis Daerah Gua Musang hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengarah Pilihan Raya BN PRK Nenggiri, Tengku Razaleigh Hamzah.

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Nenggiri, Nik Raisnan Daud mengumumkan pertembungan satu lawan satu antara Mohd Azmawi dan juga calon PAS Mohd Rizwadi Ismail.

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, 19 Jun lalu, selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim, digugurkan keahlian oleh BERSATU pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan penamaan calon bagi pilihan raya itu akan diadakan hari ini diikuti pengundian pada 17 Ogos.-BH Online