PASIR MAS: pembinaan jambatan kedua yang menghubungkan Rantau Panjang, Kelantan dan Sungai Golok, Thailand adalah simbil kerjasama erat dua negara itu, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi dan memberi manfaat kepada penduduk sempadan Malaysia-Thailand.
Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, berkata menerusi pertemuan hari ini, pihaknya turut membincangkan beberapa perkara lain seperti perancangan zon ekonomi khas, pembangunan makanan halal dan industri getah antara dua negara.
Katanya, kerjasama itu juga membuktikan hubungan erat antara Malaysia-Thailand dan semoga perancangan pembinaan jambatan itu berjalan dengan lancar.
Thailand dijangka memulakan projek pembinaan jambatan kedua dikenali sebagai Jambatan Kembar di Rantau Panjang-Sungai Golok itu pada April tahun depan.
Jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok akan mempunyai enam lorong bagi memudahkan pergerakan keluar masuk kenderaan antara Malaysia dan Thailand.
Lawatan Srettha dan rakan sejawatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini adalah susulan pertemuan bersama di Sadao, Thailand pada November lalu yang mempamerkan komitmen kedua-dua negara untuk memupuk hubungan sesama rakyat dan mempertingkatkan aktiviti ekonomi di sepanjang kawasan utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand.-BH Online