Gua Musang: Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang dijangka bakal dilaksanakan bulan ini masih berada pada peringkat akhir kelulusan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, proses bagi melaksanakan akta itu tetap akan diteruskan.
“InsyaAllah masih peringkat terakhir… apa yang kita katakan sebagai Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 peraturan dan perintah sudahpun diangkat kepada Jabatan Peguam Negara.
“(Apabila) semua siap nanti, kami berharap dapat laksanakan akta ini pada Ogos,” katanya selepas melawat Kem Kesihatan Minda, Kunci Kesejahteraan Warga Emas, di Jeram Tekoh, di sini, tadi.
Terdahulu media melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) bakal menguatkuasakan sepenuhnya peraturan dan perintah di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Dzulkefly berkata, antara peraturan termaktub mengikut akta itu termasuk pendaftaran, penjualan, pembungkusan dan pelabelan serta satu perintah berkaitan larangan merokok di tempat awam.
Katanya, semua peraturan dan perintah ini akan dikuatkuasakan serentak dengan Akta 852 termasuk rokok elektronik.-Harian Metro Online