Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KAHERAH: Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh terbunuh di Tehran, Iran, kata kumpulan pejuang Palestin Hamas dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kumpulan pejuang Islam itu berkabung atas kematian Haniyeh, yang dikatakan terbunuh dalam ‘serangan khianat Zionis ke atas kediamannya di Tehran’.

“Saudara, pemimpin, mujahid Ismail Haniyeh, ketua pergerakan kita, syahid dalam serangan Zionis di ibu pejabatnya di Tehran selepas beliau menyertai pelantikan presiden baharu (Iran),” katanya.nullnull

Haniyeh berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, semalam. 

Pengawal Revolusi Iran menyatakan bahawa Haniyeh dibunuh bersama salah seorang pengawalnya.

“Tempat tinggal Ismail Haniyeh diserang di Tehran dan akibatnya, beliau bersama salah seorang pengawalnya syahid,” kata satu kenyataan di laman berita Sepah milik Kor Pengawal Revolusi Islam.

Iran tidak memberikan butiran mengenai bagaimana Haniyeh dibunuh dan menyatakan bahawa serangan berkenaan sedang disiasat. 

Seorang pemimpin kanan Hamas, Sami Abu Zuhri, menyifatkan pembunuhan itu sebagai ‘peningkatan ketegangan yang serius’ dan menegaskan ia tidak akan mencapai matlamatnya.

“Pembunuhan oleh pendudukan Israel terhadap Saudara Haniyeh adalah peningkatan keganasan yang serius bertujuan untuk mematahkan semangat Hamas. Kemenangan tetap di pihak kami,” kata pegawai kepada Reuters.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan itu tetapi ia disyaki dilakukan tentera Israel, yang berikrar untuk membunuh Haniyeh dan pemimpin Hamas yang lain berhubung serangan kumpulan itu pada 7 Oktober lalu.

Televisyen negara Iran melaporkan kematiannya pada awal Rabu, dan penganalisis sudah mula menyalahkan Israel atas serangan itu.

Tentera Israel sebelum ini memberitahu CNN bahawa mereka ‘tidak memberikan maklum balas’ terhadap laporan dalam media asing,” selepas media negara Iran melaporkan kematian Haniyeh.

Kerajaan Israel sendiri tidak segera mengulas, seperti mana yang biasa mereka lakukan sekiranya membabitkan pembunuhan yang dilakukan oleh agensi perisikan Mossad mereka.

Haniyeh, yang lokasi lazimnya berpangkalan di Qatar, menjadi wajah diplomasi antarabangsa kumpulan Hamas ketika perang yang dicetuskan oleh serangan kumpulan pejuang itu ke atas Israel pada 7 Oktober.

Perang menyusuli serangan itu, yang kini hampir memasuki bulan ke-10, turut meragut nyawa tiga tiga anak lelakinya, yang terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza.

Dilantik ke jawatan tertinggi Hamas pada 2017, Haniyeh berpindah randah antara Turkiye dan ibu kota Qatar, Doha, melarikan diri dari sekatan perjalanan di Semenanjung Gaza yang disekat.

Strategi itu membolehkannya bertindak sebagai perunding dalam rundingan gencatan senjata atau bercakap dengan sekutu Hamas, Iran.

Israel disyaki menjalankan kempen cubaan membunuh selama bertahun-tahun, yang menyasarkan saintis nuklear Iran dan lain-lain yang berkaitan dengan program atomnya.

Dalam kempennya sejak itu, Israel telah membunuh lebih daripada 39,360 rakyat Palestin dan mencederakan lebih daripada 90,900, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, yang jumlahnya tidak membezakan antara orang awam dan pejuang. – AGENSI