Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM100 juta bagi tujuan meningkatkan fasiliti keselamatan di sempadan Kedah, Perlis dan Kelantan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ia usaha kerajaan dalam menangani pelbagai isu dan jenayah rentas sempadan, seiring komitmen Malaysia dan Thailand membangunkan kawasan bagi merancakkan ekonomi di utara Semenanjung dan selatan Thailand. 

Beliau yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin pada 3 Ogos ini bagi membincangkan isu keselamatan negara dan merancakkan ekonomi dua wilayah itu. 

“Pada 3 Ogos ini saya akan bertemu Perdana Menteri Thailand di Sungai Golok dan Rantau Panjang untuk bicara soal keselamatan sempadan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi di utara Semenanjung.

“Untuk kemudahan (tingkat fasiliti keselamatan) itu, saya setuju luluskan peruntukan tambahan RM100 juta untuk sempadan Kedah, Kelantan dan Perlis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bulan Keselamatan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin.

Anwar juga meminta supaya pembelian aset-aset keselamatan perlu dibuat dengan cara yang lebih tersusun, supaya tatakelola dan tadbir urus perolehannya berintegriti serta menjimatkan kos kerajaan.

“Cara perolehan itu juga harus bertanggungjawab kerana pengalaman kita, bukan saja soal tentera, polis dan pasukan lain, kadang-kadang perolehan itu untuk menjamin keselamatan, itu kita setuju.

“Tapi cara membeli menyebabkan terlalu banyak ketirisan, ini mesti dihentikan. Bila bicara, jaminan keselamatan. Tapi bila ambil tindakan, kepentingan dan keuntungan peribadi. Inilah perangai yang merosakkan kepentingan negara,” katanya.

Sebab itu, beliau berkata, tidak ada pilihan jika semua pihak mahu menumpukan usaha untuk mempertahankan keselamatan negara, maka dari peringkat awal termasuk perolehan ia harus dilaksana dengan penuh tanggungjawab. 

“Kalau tak, lihat bagaimana nasib kapal perang dan pesawat kita. Berbanding dengan jumlah peruntukan besar yang diberikan (kerajaan) setiap tahun. 

“Kita kena kembali ke landasan bahawa perolehan itu perlu mengikut kaedah yang betul, tidak untuk kepentingan ejen-ejen dalam dan luar negara,” katanya. 

Anwar berkata, hal ini kerap kali disinggungnya dalam pertemuan bersama penjawat awam kerana soal menjamin keselamatan negara menjadi tanggungjawab bersama bukan saja kerajaan, khususnya penjawat awam, tapi juga rakyat. 

“Soal keselamatan, jenayah siber ini harus diberi keutamaan kerana ini jalan yang selamat untuk (menjamin keselamatan) masa depan negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pendekatan Kerajaan Perpaduan dalam menjamin keselamatan juga membuahkan hasil apabila negara melonjak sembilan anak tangga dalam Global Peace Index 2024 untuk berada dalam kelompok 10 negara paling selamat di dunia.

“Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK) juga menunjukkan skor IKK bagi 2023 ialah 1.48 iaitu satu pencapaian yang amat membanggakan,” katanya.-BH Online