Baitulmaqdis: Kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas memaklumkan serangan Israel ke atas sebuah sekolah mengorbankan 30 orang pada Sabtu, selepas operasi ketenteraan selama beberapa hari di selatan membunuh kira-kira 170 individu, menurut perkhidmatan kecemasan.
Serangan terbaru yang didakwa tentera Israel adalah menyasarkan pejuang Hamas adalah yang kelapan sejak 6 Julai lalu dengan menyasarkan sebuah sekolah.
Akibatnya, lebih 100 orang terbunuh, berdasarkan angka yang diberikan oleh kementerian kesihatan dan sumber hospital.
Kira-kira 2.4 juta penduduk Semenanjung Gaza kehilangan tempat tinggal sejak serangan 7 Oktober tahun lalu.
Ramai mencari perlindungan di bangunan sekolah termasuk yang terkena pada hari Sabtu.
Kementerian kesihatan melaporkan 30 syahid dan lebih 100 cedera dalam serangan ke atas sekolah Khadija di kawasan tengah Deir el-Balah.
Tentera Israel mendakwa pejuang Hamas menggunakan kawasan itu sebagai tempat persembunyian.
Lebih jauh ke selatan, di kawasan bandar Khan Yunis, kira-kira 170 orang terbunuh dan ratusan cedera dalam operasi Israel sejak Isnin, kata agensi pertahanan awam Gaza.-Harian Metro Online