PUTRAJAYA, 28 Julai – Penyertaan Malaysia ke dalam gabungan BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) antara intipati utama perbincangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov di Seri Perdana, di sini hari ini.
Anwar berkata, Malaysia telah menghantar surat permohonan kepada Rusia selaku Pengerusi organisasi antara kerajaan baru-baru ini.
“Kami menyentuh aspek pengukuhan kerjasama dua hala, dan Malaysia menegaskan agar hubungan sedia ada dipertingkat dan diperkukuh terutama dalam sektor pelaburan dan perdagangan, sains dan teknologi, pertanian, pertahanan dan ketenteraan, pendidikan serta pelancongan dan budaya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tambahnya, perbincangan turut memberi penekanan berkaitan isu sejagat situasi terkini di Palestin.
“Kedua-dua negara menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata secara kekal, bantuan kemanusiaan segera selain Negara Palestin diperaku sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.
Sementera itu, berkenaan Ukraine, Malaysia menyeru agar dialog dan perbincangan menjadi jalan keluar kepada konflik yang sedang berlaku.
Dalam pertemuan itu, Anwar diapit Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.-Berita RTM