Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui terdapat wakil parti politik pembangkang yang mahu berjumpa beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding membentuk kerjasama dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, ketika ini beliau masih lagi belum terbuka hati untuk berjumpa dengan wakil-wakil daripada parti berkenaan.

“Ada delegasi yang datang mahu jumpa saya dan Anwar, saya tidak terbuka hati lagi jumpa mereka. 

“Saya pesan jangan dipatuk ular yang sama untuk kali kedua di tempat yang sama,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tebrau di Dewan Taman Adda Height di sini, malam tadi.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, tiada perbincangan berkenaan kerjasama antara Umno dan PAS namun jika pun ada pertemuan, itu dibuat secara tidak rasmi.

Pada 8 Julai lalu, Zahid menyatakan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan Pas selagi Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi presiden parti itu kerana mendakwa kerjasama mereka dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini dikhianati Pas.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, sekiranya Umno mahu membuat rundingan perlu dipastikan parti berkenaan berada dalam keadaan kuat terlebih dahulu.

“Kalau mahu berunding pastikan kita kuat terlebih dahulu, ini the ‘art of negotiation’, kalau kita lemah orang ajak berunding jangan pergi,” katanya.

Beliau turut meluangkan keyakinan, Johor akan terus menjadi deposit tetap BN berbanding di negeri lain dan banyak tugas berat serta tanggungjawab yang perlu dilakukan dalam mengekalkan kedudukan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri itu juga yakin Umno serta BN akan terus menjadi kerajaan di negeri ini selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang namun dengan syarat semua pihak dalam parti tidak berpecah belah terutama di peringkat cawangan.

“Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn (Hafiz Ghazi) kekal sebagai kubu dan simpanan tetap Umno. 

“Sebagai simpanan tetap banyak tugas berat yang perlu dilakukan. Dulu Sabah simpanan tetap BN tapi kini ke laut.

“Ada beberapa negeri lagi yang menjadi simpanan tetap sebelum ini.

“Saya yakin jika soal penyatuan dalam kalangan kita dan soal mengembalikan semangat baharu dalam kalangan akar umbi, Insya Allah pada PRN akan datang Johor akan tetap bawah BN dan Umno,” katanya.-Harian Metro Online