Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sarawak akan membuka pusat latihan aeroangkasa sebagai persediaan untuk terbabit serius dalam industri penerbangan, kata Premier, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Pusat latihan itu akan diwujudkan di Tanjung Bako di Kuching, manakala kelas teori akan diadakan di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di Lundu.

Abang Johari berkata, penubuhan dua pusat latihan itu sementara mewujudkan fakulti aeroangkasa di institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak, iaitu Kolej Universiti i-CATS.

“Ini bidang pengajian baharu yang ada kaitan juga dengan teknologi tinggi kerana Sarawak sudah ada pereka cip baharu untuk avionik (peralatan elektronik penerbangan).

“Avionik ini ada hubung kait dengan sektor penerbangan dan ini ialah ekosistem yang kita bangunkan untuk terbabit dalam industri aeroangkasa. CENTEXS di Lundu dikenal pasti antara yang akan dijadikan pusat latihan,” katanya.

Beliau yang ditemui media selepas merasmikan Regatta dan Pesta Batang Kayan Lundu 2024 di Tebingan Lundu, di sini hari ini, berkata kerajaan negeri bagaimanapun belum menetapkan bila pengambilan pertama pelajar.

“Perlu pindahkan dahulu salah satu syarikat pengeluaran bahan pesawat dari Selangor,” katanya menambah Sarawak memiliki persekitaran sesuai untuk industri aeroangkasa termasuk banyak sumber tenaga.

“Sebab itu kita membuka pusat pengajian khusus untuk semua yang berkaitan teknologi aeroangkasa termasuk penghasilan komponen pesawat dan avionik,” katanya.-BH Online