Kerajaan secara prinsip bersetuju untuk meminda beberapa peruntukan undang-undang untuk menjadikan koperasi sebagai entiti perniagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata draf cadangan pindaan ke atas undang-undang itu sedang dipersiapkan Jabatan Peguam Negara, sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.
“Soal undang-undang Menteri (Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk) Ewon (Benedick) beritahu sudah ada kerangka awal dan dalam tempoh dua bulan akan datang apabila disiapkan oleh Jabatan Peguam Negara, dibawa ke Jemaah Menteri untuk diluluskan.
“Saya percaya, melihat prestasi mereka.. itu boleh disegerakan,” katanya berucap pada Majlis Penutupan Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Syor pindaan kepada undang-undang itu antara resolusi dipersetujui Kongres Koperasi Kebangsaan 2024, dibangkitkan selepas terdapat beberapa akta sedia ada dilihat mengekang gerakan koperasi dalam menjalankan perniagaannya.
Pada majlis itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan RM6 juta kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) yang diselaras menerusi dana beberapa kementerian dan agensi.-BH Online