Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) memantau lima daripada 19 ajaran sesat yang difatwakan haram di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata, lima ajaran sesat itu ialah Syiah, Hizbur Tahrir, Millah Abraham, Suhaini Mohammad (Sihulk) dan Qadiani yang dipercayai masih aktif, namun dalam keadaan terkawal.
Menurutnya, daripada lima ajaran sesat yang dipantau, terdapat dua aduan berhubung ajaran Millah Abraham iaitu pada Januari dan Jun lalu di Pontian serta Segamat.
“Tiada sebarang aduan diterima berhubung ajaran Syiah dan Hizbur Tahrir pada tahun lalu dan tahun ini.
“Bagi ajaran Sihulk, kumpulan ini bergerak aktif di media sosial dan sentiasa dipantau oleh JAINJ serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Guru Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor di Savannah Hill Resort, di sini, hari ini.
Katanya, sejak 1986 hingga 2022, sebanyak 19 ajaran sesat difatwakan bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini.
“Antaranya ajaran Ayah Pin, ajaran Taslim, ajaran Wahabi, ajaran Qadyani, ajaran Gunung Ledang Tangkak, ajaran Ilmu Makrifat, ajaran Azman Samat dan ajaran Yayi,” katanya.
Ketika mengulas beberapa penahanan dan pendakwaan pengikut ajaran dan fahaman sesat termasuk kumpulan pengganas IS di negeri ini, Mohd Fared berkata, ia perlu dilihat dari sudut positif dan menunjukkan pihak berkuasa menjalankan tugas dengan baik.
Menurutnya, banyak tangkapan tidak bermaksud negeri ini dalam bahaya, begitu juga sebaliknya.
“Ini menunjukkan kesungguhan agensi penguatkuasaan dalam mengenal pasti mana-mana individu dan sekecil mana pun peranan mereka. Jika mereka terlibat dengan perbuatan jenayah atau ajaran sesat, kita tidak kira siapa, kita akan tangkap.
“Jika banyak tangkapan, saya gembira kerana bermaksud kita berjaya kenal pasti, berbanding jika sedikit tangkapan tetapi bermaksud masih ramai ada di luar. Saya juga mahu masyarakat lihat perkara ini daripada aspek positif.
“Banyak tidak bermaksud Johor dalam bahaya, manakala sikit pula tidak bermaksud kita dalam keadaan selesa, itu bukan garis panduan tepat,” katanya.-Harian Metro Online