Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menyelesaikan beberapa isu berkaitan sebelum Rang Undang-Undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024 dapat dilaksanakan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata antara isu itu termasuk semakan kehakiman yang sebelum ini difailkan empat graduan latihan Parallel Pathway dari Royal College of Surgeons Edinburgh (RCSEd) selepas gagal mendaftarkan diri dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR) dan empat kelulusan yang belum dimasukkan ke dalam Jadual 4 RUU berkenaan.nullnull
Beliau berkata, KKM komited melaksanakan RUU itu secepat mungkin, yang pada minggu ini dijangka dibentangkan di Dewan Negara.
“Kita ada beberapa isu berbangkit dan kita segera mengambil tindakan mengenainya.
“Bagaimanapun, kita mahu lakukan seberapa segera dan sebaik saja kita tahu mengenai garis masanya, kita akan maklumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Klinik Pengurangan Risiko Kardiovaskular (CRRC) di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizan Azan Abdul Rahim.
Minggu lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perubatan (Pindaan) 2024, yang bertujuan menambah baik peruntukan untuk melaksanakan proses kelulusan dan kepakaran pengamal perubatan.
Pindaan ke atas Akta Perubatan 1971 itu bertujuan memberikan kuasa kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) untuk mengiktiraf kelayakan dan latihan kepakaran bagi tujuan pendaftaran pengamal perubatan dan pakar.
Dr Dzulkefly, sebelum ini, berkata RUU berkenaan akan menjamin penambahbaikan kepada kualiti dan kuantiti pakar perubatan yang akan dilahirkan negara, sama ada melalui program sarjana atau parallel pathway.
Katanya, latihan kepakaran baharu tempatan bagi kedua-dua program berkenaan perlu dinilai dan mendapat kelulusan MMC sebelum diiktiraf, dan penilaian dijalankan berdasarkan kepada standard yang diluluskan MMC bagi memastikan kualiti latihan kepakaran dapat dipelihara.
Pada 20 Mac lalu, empat graduan yang menjalankan program parallel pathway bersama RCSEd mengambil tindakan undang-undang terhadap MMC kerana enggan mendaftarkan mereka di cawangan NSR.-BH Online