Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan dakwaan mengatakan MCA akan meninggalkan gabungan itu selepas 72 tahun bersama tidak lebih sekadar khabar angin yang sengaja dicipta pihak tertentu.
“Itu hanyalah khabar angin yang cuba dicipta oleh kalangan tertentu.nullnull
“Ketika ini Presiden MCA (Datuk Seri Dr Wee Ka Siong) dan Setiausaha Agung (Datuk Chong Sin Woon) juga sudah memaklumkan perkara itu tidak berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penutupan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras di sini, hari ini.
Terdahulu, MCA menafikan dakwaan terdapat tekanan kepada kepemimpinan tertinggi parti itu untuk meninggalkan gabungan BN, dengan Sin Woon turut memaklumkan tiada sebarang perbincangan dibuat mengenai perkara itu dalam kalangan kepemimpinan tertinggi parti.
Zamry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, pihaknya sentiasa mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi BN dan bersama semua parti komponen termasuk dalam hal berkaitan politik yang dibincangkan secara terbuka.
Ditanya mengenai usul diluluskan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar yang menuntut kerusi Parlimen Alor Setar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya, Zambry berkata perkara itu adalah kebiasaan dan bukan hanya berlaku bagi kerusi Alor Setar.
“Bukan hanya membabitkan UMNO tetapi juga parti komponen lain dan ‘friend of BN’.
“Yang paling mustahak akhirnya kita akan buat keputusan peringkat BN kerana kepimpinan BN adalah melalui Mesyuarat Majlis Tertinggi BN… jadi masih terlalu awal untuk kita fikirkan,” katanya.
Hari ini, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar meluluskan usul menuntut kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN dalam kawasan itu untuk ditandingi parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Usul dikemukakan Wakil UMNO Cawangan Flat Tongkang Yard, Fisol Embi dan disokong Ketua UMNO Cawangan Tanjung Bendahara, Fazil Hashim sebelum diluluskan sebulat suara persidangan dihadiri 497 perwakilan itu.
Selain kerusi Parlimen Alor Setar, bahagian berkenaan menuntut satu kerusi DUN, sama ada Suka Menanti atau Alor Mengkudu.
Mengulas dakwaan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) dan BN yang masih di peringkat biasa atau suam, Zambry mengakui untuk membina sesuatu hubungan bukan hanya memerlukan masa, tetapi juga program tertentu yang sudah dimulakan.-BH Online