Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Malaysia mampu bangkit menjadi negara yang gagah melalui kerjasama dan tumpuan kepada pembangunan ekonomi.

Perdana Menteri berkata, keadaan itu dapat dilihat menerusi pertumbuhan ekonomi negara yang dicatatkan di tahap 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan pertumbuhan itu sebagai pencapaian luar jangkaan biasa mahupun unjuran yang dikemukakan oleh semua pihak.

“Dalam (kerangka) Ekonomi MADANI, kita janjikan peluang pekerjaan, latihan, pemindahan teknologi lebih baik, ke arah digital (dan) transisi tenaga.

“Alhamdulillah, kita sudah memecah tembok kerunsingan dengan mencatat pertumbuhan (ekonomi) menakjubkan, 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini.

“Terima kasih kepada rakyat, pekerja, profesional (dan) pelabur.

“Ini akan memberikan kesempatan kepada kita untuk bangkit sebagai negara gagah dan saya yakin dengan kerjasama dan tumpuan kita kepada pembangunan ekonomi, kita akan berjaya,” katanya dalam rakaman dimuat naik di platform media sosial Ahli Parlimen Tambun itu, pagi ini.

BH semalam, melaporkan berdasarkan jangkaan Jabatan Perangkaan (DOSM), ekonomi negara dianggar berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Bagi separuh pertama 2024, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 5 peratus berbanding 4.1 peratus bagi tempoh sama tahun lalu, sekali gus seiring unjuran Bank Negara Malaysia (BNM), antara 4 hingga 5 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, dilapor berkata, pertumbuhan pada suku kedua 2024 itu juga adalah yang tertinggi sejak suku keempat 2022 pada 7.4 peratus.

Sementara itu, Anwar dalam kenyataan berasingan malam tadi, berkata matlamat Kerajaan MADANI adalah untuk mengubah Malaysia secara positif untuk semua lapisan masyarakat, tanpa mengira bangsa, agama atau kedudukan.

Justeru, katanya, pencapaian berkenaan akan dijadikan asas untuk memacu dan mengilhamkan kerajaan untuk terus berusaha, terutama dalam membuat keputusan sukar yang sekian lama tertangguh demi mempercepat proses transformasi diperlukan negara.

Beliau juga percaya usaha keras Kerajaan MADANI kini mula memberikan hasil walaupun ia masih di peringkat permulaan bagi kemajuan ekonomi mapan dalam jangka panjang.

“Walaupun angka ini menggembirakan dan kita harus mengambil maklum secara positif, saya juga sedar ramai rakyat mungkin masih berdepan cabaran ekonomi.

“Namun, saya berhasrat untuk mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik dengan kadar upah setimpal bagi membolehkan rakyat bukan hanya berdepan kos sara hidup, sebaliknya berupaya merealisasikan impian masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Ekonomi MADANI yang dilancarkan tahun lalu, bersama inisiatif terkini seperti Strategi Semikonduktor Negara, memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan berbilion dolar daripada peneraju teknologi global dunia.

Beliau berkata, jaminan pelaburan juga semakin hampir direalisasikan dengan projek sedia ada akan menyediakan peluang baharu untuk industri pembuatan secara keseluruhan, terutama bagi sektor elektrik dan elektronik untuk berkembang pesat ke arah pengeluaran bernilai tinggi.

“Saya berbesar hati mengumumkan KDNK negara bagi suku kedua 2024, yang mengukur nilai ekonomi kita, dijangka berkembang melebihi semua anggaran.

“Ini adalah pertumbuhan tertinggi dicatatkan Malaysia sejak Disember 2022, yang antara lain peningkatan ketara berbanding KDNK 4.2 peratus pada suku pertama tahun ini,” katanya.-BH Online