Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan menyemak semula Akta Industri Pelancongan 1992 untuk disesuaikan dengan pasaran pelancongan semasa serta memenuhi keperluan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata semakan semula akta itu sudah dibincangkan dan sedang berjalan.nullnull

“Kita sesuaikan dengan situasi pasaran pelancongan sekarang dan untuk sekurang-kurangnya untuk 20 tahun akan datang sebelum ubah suai dilakukan (ke atas akta itu lagi),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan libat urus dengan penggiat industri pelancongan sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Khairul Firdaus Akbar Khan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan Kabinet berkata, kerajaan akan melaksanakan segmentasi kepada sektor pelancongan negara.

Jelasnya, segmentasi itu penting untuk menyasarkan kehadiran pelancong berkualiti yang mampu menyumbang kepada ekonomi negara.

“Langkah itu akan dilakukan dengan membahagikan sektor terbabit kepada pasaran sedia ada dan pasaran baharu.

“Ini kita lakukan kerana suatu program itu harus dimulakan sekarang kerana tahun depan adalah pelaksanaannya dan pada tahun 2026 kita akan menerima pelancong mengikut kumpulan sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Katanya, beliau yakin dengan pembabitan penggiat pelancongan swasta dalam semua bidang yang dapat mendukung kehadiran pelancong berkualiti.

“Pelancong berkualiti atau ‘high end tourist’ bermaksud mereka yang berpendapatan tinggi untuk datang ke Malaysia.

“Saya amat yakin jika pihak kerajaan dapat membantu memberikan perbelanjaan yang lebih untuk promosi, ia akan dapat memberikan keberuntungan sebagaimana kita pernah lakukan beberapa tahun lalu,” katanya.-BH Online