Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

“Ini bukan satu perjalanan yang mudah, saya sedih kejadian ini berlaku kepada syarikat ini, selama 124 hari saya dan keluarga begitu sengsara.” 

Demikian komen pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) Datuk Seri Chai Kee Kan.

Chai, 57, mengakui mengalami pelbagai pengalaman mencabar dan tidak pernah dibayangkan sepanjang insiden yang berlaku selama empat bulan itu. 

“Hari ini adalah hari penting kepada saya selepas empat bulan atau lebih tepat 124 hari apabila saya, isteri, keluarga, rakan dan syarikat mengalami kesengsaraan akibat kes ini. Ia bukan sesuatu perjalanan yang mudah. 

“Saya amat sedih perkara ini berlaku kepada saya dan syarikat. Ini sesuatu yang tidak terjangkau dalam pemikiran saya. 

“Kejadian (stoking kalimah Allah) ini adalah suatu yang tidak akan dilupakan. Justeru, saya harap keputusan (lepas dan bebas) akan menoktahkan perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. 

Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen Muhamad Anas Mahadzir melepas dan membebaskan (DNA) Chai dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui, 53, daripada pertuduhan melukakan perasaan orang Islam berhubung stoking tertera kalimah Allah. 

Turut mendapat perintah sama adalah tiga pengarah syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn. Bhd iaitu Soh Chin Huat, 61; isterinya, Goh Li Huay, 62, dan anak mereka, Soh Hui San, 36 atas pertuduhan bersubahat mengenai kesalahan sama.

Bagaimanapun, syarikat KK Supermart & Superstore Sdn Bhd serta syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn Bhd masing-masing didenda RM60,000 atas pertuduhan sama. 

Sementara itu, Peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili pasangan suami isteri itu menjelaskan, keputusan DNA itu dibuat selepas representasi dihantar mereka diterima oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Untuk rekod representasi itu dihantar pada 17 Mei lalu sebelum diterima AGC pada 26 Mei lalu. 

“Justeru, kes ini sudah selesai dan berharap masyarakat move on (membincangkan hal yang lain) daripada membincangkan lagi kes ini,” katanya.-Harian Metro Online