Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil, menepis dakwaan bahawa kerajaan enggan mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang bekas ahli BERSATU, kerana takut kalah dalam pilihan raya.
Menteri Komunikasi itu sebaliknya menegaskan, kerajaan menghormati ketetapan termaktub dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 (Akta A1663) atau Akta Antilompat Parti.
“Ini bukan soal takut atau tidak takut. Ini soal Perlembagaan,” katanya kepada pemberita pada majlis Hari Peneroka FELDA 2024, di sini, malam ini.nullnull
Terdahulu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan mendakwa kerusi terbabit tidak diisytiharkan kosong kerana Kerajaan Perpaduan takut berdepan kekalahan.
Muhyiddin dipetik mendakwa, justeru Kerajaan Perpaduan sanggup melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkait Akta Antilompat Parti yang diperjuangkan oleh mereka sendiri.
Pada Rabu lalu, Muhyiddin memaklumkan pihaknya menerima surat daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, yang menolak permohonan BERSATU agar enam kerusi Parlimen berkenaan dikosongkan.
Ia membabitkan kerusi disandang enam Ahli Parlimen yang telah mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Pada Khamis lalu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San, turut mengumumkan tiada kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Selat Klang yang disandang oleh Datuk Abdul Rashid Asari.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pertikaian dilihat dalam media sosial seperti TikTok ketika ini mengimbas kembali kenyataan Muhyiddin ketika perbahasan Akta Antilompat Parti, yang disifatkan jelas bercanggah dengan pendekatan beliau kini.
“Muhyiddin (ketika itu) menyatakan pemecatan tidak harus menjurus kepada pengosongan kerusi… kalau kita teliti kenyataan Muhyiddin sekitar November 2022 sejurus selepas selesai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), beliau berkata, tidak salah ahli UMNO menyokong beliau menjadi Perdana Menteri.
“Jadi, saya melihat Muhyiddin adalah seorang hipokrit yang telah lupa apa dia cakap sama ada dalam Parlimen atau sejurus selepas PRU15,” dakwanya.
Ditanya mengenai cadangan supaya Akta Antilompat Parti diperketatkan pula, Fahmi berkata, kerajaan bersedia untuk meneliti perkara itu.
Malah, beliau berkata, secara prinsipnya pimpinan PH sejak dahulu mahu ia dilaksanakan dengan ketat.
“Perdana Menteri ada menyatakan kita boleh meneliti perkara ini. Ia bukan perkara mudah dan kena ingat, dahulu wakil daripada PH dan sejumlah hampir semua terbabit yang perbincangan ketika itu, termasuk daripada UMNO, menyokong agar rang undang-undang terbabit bersifat lebih ketat.
“Yang paling tidak setuju dahulu (didakwa) ialah Ahli Parlimen seperti Muhyiddin, (Dr) Radzi Jidin dan (Datuk Seri) Hamzah Zainudin. Maka, kami secara prinsipnya memang setuju diketatkan lagi apa-apa aspek ketika ini yang ada kelompangan,” katanya.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan terbuka untuk mengadakan perbincangan bagi memperbaiki kelompangan yang wujud dalam Akta Antilompat Parti. – BERNAMA