Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengajak umat Islam supaya terus beristiqamah dalam kebaikan serta berhijrah dari mungkar kepada makruf.
Dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 1446, beliau juga mengajak umat Islam berhijrah daripada kemelampauan kepada kesederhanaan dan dari keangkuhan kepada ketawadukan serta kesyukuran.
Beliau berkata, umat Islam perlu mengenang peristiwa ulung Hijratur Rasulullah dan keberhasilan umat mendirikan kota Madinah, yang menuntut sebuah pengorbanan.
“Perjuangan bagi meraih cita-cita yang tinggi tentunya menuntut pengorbanan.
“Tatkala kita mengenang peristiwa ulung Hijratur Rasul dan keberhasilan umat mendirikan kota Madinah, harus jua kita mengingat episod derita dan sengsara yang telah menyelubungi umat selama bertahun lamanya.
“Namun baginda tetap mendidik umat agar bersabar dan yakin dengan janji-Nya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Awal Muharram atau Maal Hijrah adalah peristiwa sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, dasar kenegaraan yang mencerminkan sikap rahmah dan adil buat semua mampu diterbitkan daripada kekuatan rohani.
“Sesebuah daulah akan sentiasa dalam berkat kejayaan (falah) selagi mana dipaculkan akhlak dan nilai yang mulia dalam kehidupan masyarakatnya.
“Semoga Allah SWT memberkati tiap langkah dan ikhtiar kita,” katanya.-BH Online