Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia perlu mengekalkan identiti dan elemen budaya dalam seni bina dan reka bentuk meskipun menuju ke arah pembangunan yang lebih moden.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, adalah memalukan sekiranya perkara itu tidak diambil kira memandangkan Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum dan budaya.

“Saya gembira mengetahui bahawa ramai arkitek tempatan komited untuk memastikan apa yang dibina adalah bukan sekadar hutan konkrit yang mana semuanya sama di seluruh dunia.

“Ia mesti mempunyai watak dan semangat budaya dalam konteks Malaysia yang mencerminkan komuniti Orang Asli, Melayu, Cina dan India termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan 2024 (ACMROCH 2024) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut diadakan Pameran Bangunan dan Rekaan Dalaman 2024 Malaysia ke-23 (ARCHIDEX 2024) bermula hari ini sehingga 6 Julai melibatkan 700 pempamer tempatan dan antarabangsa merentasi lebih 1,500 reruai pameran, serta 40,000 pelawat dari lebih 100 negara.

ARCHIDEX menawarkan pelbagai tema pameran yang disesuaikan dengan keperluan industri, termasuk teknologi audiovisual dan pencahayaan, Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Pada masa sama, Anwar berkata, ASEAN sedang giat berusaha mempromosikan rantau ini sebagai rantau yang cemerlang dari segi ekonomi dan budaya.

Justeru, kata Anwar, pemaju dan arkitek tempatan serta penggubal dasar juga perlu memastikan pembangunan yang dilaksanakan mengambil kira keperluan semua sektor.

“Ini supaya kita tidak mengulangi ‘kisah’ dua bandar iaitu satu sektor untuk orang kaya manakala satu sektor untuk orang miskin.

“Ia mestilah kisah baharu satu bandar yang inklusif, direka untuk memupuk inovasi, mengalakkan kemampanan dan memastikan industri itu kekal berdaya saing di pentas global,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.