Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pengangkutan memberi amaran akan menamatkan permit operasi institut memandu (IM) yang didapati terbabit dengan lesen ‘kopi o’ atau lesen ‘terbang’.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, atas dasar itu, kementeriannya menggalakkan IM supaya mula melaksanakan sistem pengujian lesen memandu secara automasi atau ‘eTesting’ untuk mengelak gejala terbabit.

Katanya, gejala berkenaan sudah lama berlarutan dan tidak menafikan ia masih wujud, namun sudah berkurangan.

“Jangan terbabit dalam apa-apa unsur yang tidak baik, unsur rasuah. Mesti kita hapuskan bersama sebab sudah lama saya dengar ada lesen ‘kopi o’, lesen ‘terbang’ dan macam-macam lagi.

“Ini yang kita nak betul-betul hapuskan. Kerana kalau kita terbabit dengan perkara ini, yang menjadi mangsa adalah anak-anak muda kita,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-10 Akademi Memandu RDS dan Pelaksanaan Projek Lesen Orang Asli di akademi itu, di sini, hari ini.

Menurutnya, kementeriannya juga menggalakkan IM supaya beransur-ansur menormalisasikan sistem berkenaan sebelum ia diwajibkan pada masa akan datang bagi mengelakkan sebarang masalah jika dilaksanakan secara mendadak.

“Kita mahu sistem ini jadi satu budaya. Hala tuju dalam masa lima tahun kita akan wajibkan, setakat ini kita bagi kelonggaran sedikit.

“Saya tidak mahu dalam beberapa tahun ini tiada langsung IM yang ambil ‘eTesting’, tiba-tiba menjelang tahun kita wajibkan semua, kita akan ada gangguan.

“Kita tidak mahu ada gangguan. Kita nak buat secara ansur-ansur supaya biasakan diri dalam kalangan IM dan pelatih, supaya ia jadi pilihan kepada semua,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya mendapati banyak IM berminat dengan sistem berkenaan dan sudah membuat permohonan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Banyak IM berminat selepas saya lancarkan pada April lalu dan banyak IM yang memohon. Saya yakin kumpulan pertama mohon eTesting ini akan dapat keputusan tidak lama lagi.

“Saya difahamkan JPJ sudah memproses permohonan mereka. Akan dapat jawapan tidak lama lagi. Lepas dapat surat kelulusan daripada JPJ, mereka boleh gunakan, ambil pelajar guna sistem ini,” katanya.

Mengulas mengenai sindiket yang masih berani menawarkan lesen memandu tanpa ujian yang sepatutnya, beliau berkata, kini wujud pula sindiket penipuan yang menawarkan pakej berkenaan menerusi media sosial.-Harian Metro