Mohamad Amirul Amin Mohamed Amir, 36, terkena tembakan berkenaan pada di bahu kiri dilepaskan seorang pengawal peribadi yang mengamuk sebelum menembak mati majikannya pada 1 Disember 2016.
Berkhidmat di RTM selama 15 tahun, beliau telah dimasukkan ke hospital lebih lima kali sejak insiden di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu itu kerana mengalami serangan jantung.
Mohamad Amirul Amin antara tiga penerima Tabung Kasih@HAWANA yang sedang diuji dengan masalah kesihatan di Pulau Pinang, melahirkan rasa kesyukuran atas perhatian yang diberikan.
“Pada Mei lalus, saya buat persiapan untuk menyertai sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di Sarawak, namun dua hari sebelum bertolak, alami serangan jantung dan ditidurkan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pulau Pinang.
“Saya bersyukur dan terharu kerana walaupun saya cuma jurukamera sambilan, HAWANA tetap menyantuni saya dengan memberikan bantuan,” katanya selepas menerima sumbangan itu di sini, hari ini.
Dalam kejadian 7.15 malam 1 Disember 2016, tiga lelaki, termasuk ahli perniagaan, Datuk Ong Teik Kwang, 32, maut, manakala lima lagi termasuk Mohamad Amirul Amin cedera akibat peluru sesat daripada tembakan yang dilepaskan pengawal peribadi Teik Kwang.
Jurukamera sambilan RTM itu ditembak ketika cuba membantu mangsa yang disangka terlibat dalam nahas jalan raya dan ketika kejadian, beliau bersama seorang rakannya yang juga wartawan dalam perjalanan ke majlis perasmian Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong.
Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang dalam rangka lawatan sehari ke Pulau Pinang menyantuni dan memberikan sumbangan Tabung Kasih @HAWANA kepada tiga warga media di negeri ini.
Selain itu, bantuan Ziarah Seni MADANI Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) kepada seniman era 60-an, Rocky Din atau nama sebenarnya Mohd Hashim Sharif, 75.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarang BERNAMA; Arul Rajoo Durar Raj.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Presiden Kelab Media Mutiara Pulau Pinang Iskandar Othman.
Turut menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA ialah wartawan sambilan akhbar Sin Chew Daily, Chew Sin Chye, 62, yang menghidap penyakit jantung dan bekas wartawan media dalam talian Alai Oli, Santhiah Arokiasamy, 74, yang menghidap sakit jantung sejak 2005.
Selain wang tunai, mereka menerima barangan daripada Syarikat Pakaian Hari-Hari dan Aeon Big.
Fahmi berkata, penerima sumbangan hari ini antara 110 rakan media yang telah menerima manfaat daripada Tabung Kasih @HAWANA sejak inisiatif itu diperkenal pada April tahun lalu.
“Insya-Allah, kita akan bergerak lebih pantas untuk menyantuni serta memberi bantuan kepada warga media.
“Kita juga akan wujudkan satu mekanisme untuk bincang bersama kelab-kelab media Malaysia untuk mengenal pasti rakan-rakan media yang perlu diberi perhatian dari aspek kebajikan mereka,” katanya.
Beliau berharap hubungan erat antara gabungan kelab media di negara ini akan mendapat manfaat daripada Tabung Kasih @Hawana.
Tabung Kasih@HAWANA, yang diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional 2023, bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media sama ada masih berkhidmat atau bersara, yang keuzuran atau memerlukan bantuan.
Ia adalah inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan menerusi BERNAMA.