Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak bersama-sama secara aktif untuk mencapai masa depan lestari dan selamat bagi generasi akan datang.

Perdana Menteri berkata, kebersamaan itu akan membolehkan Malaysia mewujudkan sinergi berkuasa ke arah memacu perubahan ketara dalam Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Katanya, usaha mencapai karbon sifar bersih memerlukan kolaboratif membabitkan semua pihak merangkumi kerajaan, sektor swasta dan rakyat.

“Di Malaysia, kita mengambil sikap progresif ke arah nyahkarbon dan agenda kelestarian yang lebih besar.

“Malah, konsep MADANI, etos pembangunan negara, meletakkan ‘kelestarian’ sebagai satu daripada tujuh prinsip terasnya.

“Dalam hal ini, kerajaan komited menerapkan prinsip ESG ke dalam fabrik tadbir urus, memastikan masa depan yang mampan dan makmur untuk generasi akan datang.

“Kita melaksanakan pelbagai dasar bertujuan mengurangkan pelepasan karbon, menggalakkan kesaksamaan sosial, mewujudkan peluang pertumbuhan baharu dalam ekonomi hijau dan memastikan tadbir urus yang telus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran rasmi Konsortium Impak Positif ESG pertama di Asia oleh Star Media Group (SMG), Media Group of Kompas Gramedia (KG Media) dan Inquirer Group of Companies (IGC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono; Duta Besar Filipina ke Malaysia, Maria Angela Abrera Ponce; Pengerusi Star Media Group, Tan Sri Wong Foon Meng; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media Group, Chan Seng Fatt.

Pelancaran konsortium itu adalah hasil kerjasama tiga kumpulan media untuk memacu kesedaran ESG merentasi ekosistem perniagaan di rantau ini.

Perdana Menteri percaya pembentukan konsortium berkenaan tepat pada masanya memandangkan ia boleh memanfaatkan kehebatan tiga kumpulan media untuk memudahkan kerjasama antara pihak berkepentingan, perniagaan dan orang ramai.

Tegasnya, menerima amalan ESG melangkau pematuhan peraturan dan memerlukan anjakan minda untuk menerima prinsip penjagaan alam sekitar, tanggungjawab sosial dan kecemerlangan tadbir urus.

Justeru, Perdana Menteri berharap semua pemegang taruh iaitu perniagaan, masyarakat dan individu menyertai secara aktif dalam mencapai kelestarian dan keselamatan generasi akan datang.

Konsortium Impak Positif ESG yang pertama di Asia itu akan memacu pembangunan masa depan dengan kelestarian sebagai teras komuniti.

Ia dicapai menerusi strategi serampang tiga mata dengan memberi tumpuan kepada pendidikan, libat urus dan komuniti yang akan diterajui oleh jenama kumpulan, StarESG, KG Media Lestari dan Inquirer ESG Edge.

Setiap negara akan melancarkan inisiatif tempatan sendiri, bermula dengan Anugerah Impak Positif bagi Malaysia, Anugerah Impak Tahunan bagi Filipina dan Anugerah Lestari bagi Indonesia. 

Pemenang tempatan dari acara itu akan bertanding di peringkat serantau, membina momentum ke arah Anugerah Impak Positif ESG Asia dan kemuncaknya di sidang kemuncak serantau pada 2025.-BH Online