Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Kerajaan memberi jaminan harga barangan tidak akan dinaikkan selagi bekalan makanan import dan tempatan masih mencukupi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata setakat ini bekalan makanan negara berada pada tahap stabil dan tidak berdepan sebarang masalah.

Bagaimanapun, katanya, kestabilan harga bergantung kepada stok sedia ada dalam simpanan negara dan situasi itu mungkin berubah sekiranya bekalan semasa habis dan perlu digantikan dengan stok baharu yang kemungkinan besar diperoleh pada harga berbeza.

“Saya kata, kesannya itu bergantung kepada keadaan, saya tidak jamin untuk tempoh yang lama.

“Apabila stok dalam simpanan kita habis dan kita terpaksa menggunakan stok baharu dengan harga baharu, maka mungkin akan berlaku perubahan harga,” katanya selepas menyempurnakan Program Sentuhan Agro MADANI di Dewan Dato’ Demang Hussin Bukit Katil, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli. 

Mohamad Sabu berkata, ketika ini situasi masih terkawal dan kerajaan sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bekerja dalam tempoh krisis.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh memanggil kami pada bila-bila masa untuk berbincang dan mengeluarkan arahan-arahan muktahir sekiranya perlu.

“Agensi berkaitan termasuk Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan terus menyalurkan maklumat kepada petani berhubung sebarang perubahan dasar atau situasi semasa.

“LPP dan agensi lain akan memberi maklumat terus kepada petani jika ada sebarang perubahan yang akan berlaku,” katanya.-BH Online