Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

RANTAU PANJANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenal pasti enam modus operandi utama membabitkan ketirisan barang kawalan, termasuk petrol dan diesel di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata modus operandi itu dibentangkan menerusi mesyuarat pertama Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) pada 11 Mac lalu yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof.

Beliau berkata, modus opeandi berkenaan membabitkan di daratan dan lautan iaitu penyelewengan dibuat pemegang lesen barang kawalan berjadual (CSA) sama ada di depoh, stesen minyak dan sebagainya.

“Bagi modus operandi kedua, penyelewengan dibuat oleh pihak ketiga yang mendapat bekalan dan tidak menyalurkan mengikut saluran sah selain membabitkan aktiviti bunkering yang dikesan mempunyai unsur salah laku sekali gus memerlukan kawal selia lebih khusus yang sedang diteliti Kementerian Pengangkutan.

“Modus operandi ketiga pula membabitkan pemprosesan semula bahan petroleum di perairan negara dengan mencampur beberapa jenis minyak termasuk RON95 sebelum dijual kepada pihak tertentu.

“Sementara itu, modus operandi kelima adalah pemalsuan dokumen dari segi jumlah pembelian dan yang terakhir menyorok bekalan sebelum dijual ke pasaran gelap termasuk sektor industri dengan harga lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pemantauan di stesen minyak dan kawasan sempadan di sini, hari ini.

Armizan berkata, langkah tegas memperketat kawalan dan pemantauan pengedaran amat penting bagi membanteras ketirisan sama ada dalam bentuk penyeludupan, penyelewengan dan penyorokan.

“Antara strategi dilaksanakan memperkasa pelaksanaan ops sedia ada iaitu Ops Tiris 3.0 kepada Ops Tiris 4.0 yang lebih bersepadu dengan memperkukuh kerjasama merentasi badan penguatkuasaan dan agensi kerajaan berkaitan berkuatkuasa 16 Mac.

“Operasi penguatkuasaan yang membabitkan semua agensi berkaitan ini akan membabitkan tiga kluster utama iaitu daratan, perairan dan sempadan,” katanya.

Armizan berkata, selain penguatkuasaan di lapangan, langkah memperkukuh kawalan juga membabitkan pemantauan harian melalui pangkalan data rantaian pengedaran. 

“Ini meliputi keseluruhan rantaian pengedaran merentasi kilang penapisan hingga ke peringkat peruncitan termasuk keseluruhan fasiliti penyimpanan, stesen minyak dan pengguna industri,” katanya.-BH Online