Kira-kira 180,000 kenderaan barangan masih belum memohon mendapatkan Fleet Cardmenerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata mengikut rekod, terdapat 389,000 kenderaan barangan berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun hanya 209,000 memohon Fleet Card dalam SKDS 2.0.
“Jumlah 209,000 itu telah diluluskan untuk subsidi diesel,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Bijak Belanja Pengguna dan Jualan Rahmah MADANI Peringkat Pulau Pinang di Bandar Tasek Mutiara, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, terdapat 33 kategori kenderaan, termasuk 10 kategori pengangkutan awam seperti bas sekolah dan bas ekspres, manakala 23 lagi kategori membabitkan kenderaan pengangkutan barangan, logistik.
“Kategori kenderaan barangan, ada 389,000 yang berdaftar dengan JPJ, namun yang daftar untuk dapatkan Fleet Card sekitar 209,000, bermakna lebih kurang 180,000 lagi masih belum daftar.
“Mungkin yang belum berdaftar ingat mereka tak layak atau hanya punya satu, dua kenderaan dan rasa susah. Sebenarnya, walaupun satu, dua atau tiga kenderaan pun layak, tak perlu ada 20 kenderaan dalam syarikat.
“Asalkan mereka termasuk dalam 23 kategori kenderaan mengangkut barang yang tersenarai,” katanya menasihatkan pemohon dalam 23 kategori itu tidak bimbang memandangkan mereka yang memohon akan mendapat kelayakan serta-merta.
Beliau memberi contoh, jika permohonan Fleet Carddaripada lima syarikat minyak yang mengambil masa untuk diproses, pemohon boleh menyimpan resit dan kemudian boleh mendapatkan bayaran balik.
“Bila ada Fleet Card, serta-merta dekat pam minyak sudah ada diskaun,” katanya.
Mengenai dakwaan pemberian subsidi RM200 tidak mencukupi bagi kenderaan barangan, Fuziah berkata, tiada kuota Fleet Card ditetapkan bagi kenderaan pengangkutan barang setakat ini.
“Penyasaran subsidi diesel di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ialah syarikat dan kita guna kan sistem Fleet Card. Berbeza dengan dua lagi,” katanya merujuk sistem Budi Individu atau Budi Agri-Komoditi.
“Setakat ini, tiada kuota ditetapkan menerusi Fleet Card, ia mengikut keperluan syarikat. Kita faham, syarikat logistik barangan membuat penghantaran jauh, contohnya dari utara ke selatan.
“Selain itu, kita juga buka ruang perbincangan bagi kenderaan yang tidak tersenarai dalam sistem,” katanya.-BH Online