Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini dalam proses akhir membuat pindaan pada Akta Kanak-kanak 2001 dan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Apalagi, pada 2026 kelak, Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak akan beroperasi sendiri.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pindaan undang-undang baharu dalam akta berkenaan dijangka akan di bawa ke Parlimen tahun ini atau tahun depan.

Undang-undang dalam akta tersebut perlu dipinda berikutan perkara-perkara berkaitan keselamatan kanak-kanak yang semakin membimbangkan.

Kementerian juga masih menstruktur dan merekrut pekerja termasuk pengasuh dan pelindung yang akan berkhidmat di jabatan berkenaan.

“Sebenarnya ada gesaan atau tidak, memang kami di kementerian sudah dalam proses membuat pindaan kerana kita menggunakan operasi Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak yang sudah bermula tahun lepas.

“Maka sebab itu kita perlu giatkan lagi dan mungkin ada perkara-perkara baharu seperti peraturan dalam akta berkenaan,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Wanita MCA, Wong You Fong yang menggesa KPWKM menyemak semula dan memperketatkan Akta Kanak-Kanak.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong merasmikan Majlis Ibadah Korban 1445 Hijrah Bersama Menteri KPWKM di Bandar Baru Semariang, Kuching.

Sebanyak 14 ekor lembu disumbangkan beliau di masjid dan surau dalam Parlimen Santubong sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.-Berita RTM