Sebanyak 48 daripada 245 stesen minyak di Kelantan berada dalam radius 25 kilometer (km) dari sempadan diberi perhatian bagi mengelak pembelian berulang petrol RON95.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail, berkata pengisian berulang tidak dibenarkan dalam tempoh kurang satu jam bagi kenderaan sama.
Jelasnya, pihaknya akan mengeluarkan surat kepada semua pengusaha stesen minyak di negeri itu dalam masa terdekat supaya melaporkan kepada pihak KPDN sekiranya terdapat kenderaan yang melakukan pengisian berulang.
“Pada masa sama, kita menempatkan anggota statik di stesen minyak di sempadan seperti di Pengkalan Kubor, Rantau Panjang dan Bukit Bunga.
“Mereka yang berbuat sedemikian akan diambil tindakan tegas kerana kita percaya mereka adalah penyeludup,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, pembelian berulang untuk pengisian RON95 di semua stesen minyak di Kelantan tidak lagi dibenarkan bagi mengelak petrol bersubsidi itu diseleweng ke negara jiran.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Bahagian Penguatkuasa KPDN, Shamsul Nizam Khalil, dilapor berkata arahan itu dikeluarkan selepas ada pihak dikesan cuba menggunakan pembelian berulang untuk mengumpulkan stok RON95 sebelum diseludup ke Thailand.
Mengulas lanjut, Azman turut berharap semua pengusaha stesen minyak memberi kerjasama kepada KPDN dalam menyalurkan maklumat.-BH Online