Pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) mampu menawarkan prospek kerjaya menarik serta berkualiti kepada bakat tempatan di kawasan sekitarnya kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Zafrul melihat KIGIP akan menjadi hab di utara dalam menyemai bakat dan inovasi berikutan lokasinya yang strategik dan berdekatan pelbagai institusi pendidikan.
Lokasi strategik itu akan memastikan bekalan graduan mahir mencukupi untuk mengisi jawatan berkemahiran dan bernilai tinggi di KIGIP.
“Pelaksanaan KIGIP selepas hanya lapan bulan diumumkan melalui Bajet 2024 mencerminkan kesungguhan Kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek-projek yang berkepentingan nasional.
“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melihat KIGIP sebagai satu pemangkin ekonomi strategik bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi. Yang lebih penting, pelaburan tersebut bakal menyediakan peluang perniagaan kepada syarikat domestik, dan juga mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.” katanya.
Di samping itu, ia juga mengutamakan dan memberi peluang kepada tenaga kerja tempatan yang berkemahiran untuk terus berkembang maju selain melengkapi limpahan permintaan seiring dengan kepesatan industri di Pulau Pinang dan Kulim High-Tech Park. -Berita RTM
https://www.facebook.com/share/p/r4yGgaRMupWPdoki/?mibextid=WC7FNe