Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesyorkan supaya ketua jabatan atau unit disekat kenaikan pangkat sekiranya didapati mengetahui berlaku kecurangan atau salah laku dalam jabatan mereka, namun tidak mengambil sebarang tindakan.
Perdana Menteri berkata, kaedah hukuman itu bagaimanapun akan ditentukan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).
“Mengapa dalam jabatan umpamanya, ada ketua jabatan, KSU (Ketua Setiausaha), Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Pengarah, tak mungkin dari atas tahun sampai ke bawah.
“Kalau nampak dengan terang salah laku, kenapa ketua jabatan tidak lapor, kenapa ketua unit tidak tahu, saya kadang-kadang fikir kerana amalan ini sudah berlaku bertahun-tahun, mustahil tidak ketahui.
“Maka saya akan syorkan kepada KSN, mesyuarat dalam terdekat ini, dalam keputusan kita mengenai penyelarasan gaji, kita tetapkan seorang ketua jabatan atau unit tidak akan diberikan kenaikan pangkat, sekiranya diketahui di bawahnya itu (ada kecurangan) dan tidak dilaporkan, tidak diizinkan terus,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Yang turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Anwar berkata, beliau mahu satu ketetapan dibuat pada minggu depan dengan semua ketua jabatan atau unit melaporkan sebarang kecurangan atau salah laku berkenaan.
Walaupun sudah ada perubahan, Perdana Menteri berkata, beliau tidak jemu mengulangi mengenai isu kecurangan kerana masih berlaku di sesetengah peringkat.
“Dalam penjawat awam, kerangkanya mesti jalankan tugas dengan baik, hentikan kecurangan, amanah saya tidak jemu mengulang, walaupun ada perubahannya, kerana mana mungkin orang beribadah, bicara mengenai islam, tetapi masih mempertahankan amalan kecurian.
“Saya selalu bandingkan, kalau anak cucu kita curi pensel kawan kita marah tetapi kalau curi berjuta, kita biarkan, saya tekankan ini kerana masih berlaku di setengah peringkat,” katanya.
Beliau berkata, kini tanggungjawab menangani salah laku dan kecurangan bukan lagi terletak di bahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja, sebaliknya kepada ketua jabatan dan unit.
“Saya fikir badan penguat kuasa hampir maksimum usaha mereka, saya maklumkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, saya akan tingkatkan peruntukan tambahan, pegawai dan peguam negara dimaklumkan ambil tindakan tidak peduli siapa sebaik ada bukti supaya dalam tempoh terdekat kita dapat kawal dengan berkesan,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan semua penjawat awam supaya menggalas tanggungjawab untuk menentang kecurangan dan salah laku.
“Jadi, saya harap saudara faham, kalau tidak saudara boleh pilih tidak mahu jadi ketua jabatan kerana tanggungjawabnya lebih, maklumkan kepada KPPA, kata saya hanya mahu bekerja sebagai pegawai biasa, tidak mahu jadi ketua unit atau jabatan
“Kamu makilah berbakul-bakul pun, kerja mesti dijalankan, jadi saya nak gesa kerana amaran sudah lama diberikan, maka tangunggjawab itu sudah turun dari atas sampai ke peringkat bawah,” katanya.-BH Online