Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan Perpaduan akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Rabu ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Pilihan Raya Perpaduan yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, pada Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap di Bilik Gerakan Utama Perpaduan di Jalan Besar, di sini, malam ini.

Rafizi berkata, mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) akan diadakan Selasa ini untuk membentangkan calon yang dipilih sebelum diperakukan.

“Senarai sudah dihantar kepada Presiden PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan disaring oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

“Kita akan berjumpa sekali lagi pada Rabu ini untuk umumkan calon mewakili Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal ditetapkan pada 2 Julai.

PRK Sungai Bakap bakal diadakan susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.-BH Online