Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Seramai 30,000 penerima BUDI MADANI individu dan BUDI Agri-Komoditi meliputi petani dan pekebun kecil komoditi menjadi kumpulan pertama menerima bantuan bulanan RM200 yang akan didepositkan ke akaun masing-masing mulai tengah malam ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kumpulan itu adalah penerima yang diluluskan untuk menerima bantuan subsidi tunai di bawah inisiatif BUDI MADANI.

Katanya, inisiatif bantuan tunai BUDI MADANI individu RM200 sebulan diberikan kepada warganegara yang memiliki kenderaan diesel persendirian untuk menampung peningkatan perbelanjaan bahan api diesel, manakala petani dan pekebun kecil komoditi menerima bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi bagi mengurangkan kesan kepada punca pendapatan.

“Tujuan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi ini adalah untuk membendung ketirisan diesel subsidi yang kian berleluasa dan menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.

“Kerajaan berbelanja sebanyak RM14.3 bilion untuk subsidi diesel tahun lalu dan negara kini tidak mampu terus kerugian berbilion ringgit akibat penyeludupan dan penyelewengan diesel yang berleluasa, sedangkan wang itu lebih baik dibelanjakan bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan membangunkan negara,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media Penyasaran Subsidi Diesel di Kompleks Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Katanya, individu layak yang belum memohon BUDI MADANI individu atau BUDI Agri-Komoditi masih boleh menerima bantuan bagi Jun sekiranya mereka membuat permohonan sebelum akhir bulan ini. 

Dalam pada itu, kerajaan menyarankan individu pemilik kenderaan diesel, petani kecil dan pekebun kecil komoditi yang layak untuk memohon BUDI MADANI di pautan https://budimadani.gov.my.

Pemilik kenderaan logistik yang layak juga boleh memohon untuk mendapatkan ‘fleet card di bawah Projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.-BH Online