Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, mengingatkan pengamal media supaya terus memelihara etika dan berintegriti dalam melaksana tugas menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat.

Katanya, tema sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 – ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’ – harus menjadi kayu pengukur dan peringatan untuk memastikan maklumat disampaikan adalah sahih serta bermanfaat, selain pengamal media perlu bertanggungjawab terhadap berita dikongsikan dan bukan sekadar ‘click-bait’ semata-mata.

Beliau berkata, pengamal media adalah wira dan wirawati tidak didendang yang memainkan peranan besar dalam proses membina negara, terutama bagi membantu menyebarkan dasar, inisiatif serta program kerajaan untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Pada era digital ini dengan segalanya dapat diakses di hujung jari saja, saya amat mengerti cabaran bagi rakan-rakan wartawan dan pengamal media.

“Namun, saya percaya anda semua mampu mendepani apa jua cabaran mendatang, sekali gus memastikan industri media di negara ini tetap kekal relevan dan menjadi pilihan,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut mendoakan setiap wartawan dan pengamal media terus cekal serta tabah, di samping sentiasa berpegang teguh kepada etika dan bertanggungjawab dalam melaksana amanah diberikan.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO mewakili kepimpinan parti berkenaan di seluruh negara juga mengucapkan ‘Selamat Menyambut Hari Wartawan Nasional’.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Malaysia pada 1939, sebagai penghormatan dan pengiktirafan terhadap sumbangan pengamal media. – BERNAMA