Permohonan pinjaman pelajaran MARA untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mula dibuka hari ini.
Pengumuman itu, dilakukan oleh Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Facebook hari ini.
Pinjaman itu adalah untuk pelajar melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) di dalam negara ataupun universiti luar negara yang terpilih.
“Permohonan secara dalam talian akan mula dibuka pada 27 Mei hingga 10 Jun di https://educationloan.mara.gov.my/V4/sa/#/Login,” katanya.
Terdahulu hari ini, BH melaporkan Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.60, berbanding 4.74 pada 2022.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata seramai 11,713 calon memperoleh keputusan cemerlang, iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2023, dibandingkan dengan 10,109 calon pada 2022, sekali gus mencatatkan peningkatan.
Katanya, bilangan calon mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pada 2023, turut menunjukkan peningkatan, iaitu seramai 83,112 calon, berbanding 75,322 calon pada 2022.
“Seramai 131,480 calon (35.2 peratus) sekurang-kurangnya lulus semua mata pelajaran pada keputusan SPM 2023, iaitu peningkatan sebanyak 3,296 calon (0.9 peratus), berbanding 128,193 calon atau 34.4 peratus pada 2022.