Golongan belia wajar mempertimbangkan China sebagai lokasi untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana China memiliki potensi dan pelbagai ruang serta peluang untuk memperoleh kelebihan ilmu pengetahuan dan teknologi berimpak tinggi.
“Penting untuk kita dan negara untuk memperoleh ilmu pengetahuan, termasuk teknologi dari kolej dan universiti dari China ke Malaysia.
“Keadaan ini bukan hanya menguntungkan diri sendiri, sebaliknya turut memberi kelebihan kepada negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Komuniti dan Pelajar Malaysia di Shanghai, hari ini.
Bersasarkan statistik Kementerian Pendidikan Tinggi (Education Malaysia in Beijing), seramai 5,697 pelajar Malaysia menuntut di China setakat ini, yang antaranya merangkumi 1,425 pelajar di Beijing, Zhejiang (933), Fujian (735) dan Shanghai (626).
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Manndzri Nasib.
Hadir sama, Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai, Syed Farizal Aminy Syed Mohamad dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Shakar Shamsudin.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah meminta semua pihak berkaitan pendidikan tinggi, termasuk MARA untuk bertindak proaktif bagi menggalakkan pelajar Malaysia menyambung pengajian ke China.
“Bermula tahun ini, saya ingin membuka peluang kepada penuntut MARA, terutama GiatMara serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk menghantar pelajar mereka untuk mendalami ilmu pengetahuan dan teknologi di China.
“Saya mahu melihat pencapaian pelajar kita. Ini kerana, China sangat maju dalam bidang teknologi tinggi, selain terbuka untuk berkongsi, terutama bersama Malaysia,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri menggesa Asyraf Wajdi untuk menangkis persepsi serta membuka minda ibu bapa, terutama golongan Bumiputera untuk menghantar anak mereka menyambung pengajian ke China.
“Kebanyakan kita mengehadkan beberapa negara tertentu sebagai lokasi pengajian tinggi anak masing-masing. Ini kerana, pemikiran konservatif kita yang lebih tertumpu kepada negara Barat.
“Kita terlupa yang Asia sebenarnya ada negara membangun, terutama China,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Mengetengahkan Shanghai sebagai contoh, Ahmad Zahid berkata, ia muncul sebagai antara wilayah terbaik di China bagi memperoleh ilmu pengetahuan, termasuk dalam aspek tekad politik yang perlu dipelajari rakyat Malaysia.
“Ini kerana, perubahan pesat berlaku di Shanghai berbanding 30 tahun lalu. Banyak bangunan pencakar langit dibina di sini, sedangkan Shanghai sebelum ini, terkenal dengan sawah padi yang luas.
“Ini bukan mahu membodek, tetapi ia adalah sesuatu yang realiti dan kita harus mempelajari daripada mereka. Oleh itu, ketepikan pandangan negatif,” katanya.-BH Online