Malaysia sedia hulur bantuan kemanusiaan kepada mangsa tanah runtuh di wilayah Enga, Papua New Guinea.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bencana yang meragut ratusan nyawa di kawasan terpencil yang bergunung-ganang dan berceranggah awal pagi Jumaat, menjadikan respons kemanusiaan terhadap tragedi itu amat mencabar.
“Saya turut memikirkan nasib malang penduduk Papua New Guinea berikutan tanah runtuh dahsyat yang meragut lebih seratus nyawa di wilayah Enga.
“Berlaku di kawasan terpencil, bergunung-ganang dan berceranggah pada awal pagi Jumaat, respons kemanusiaan terhadap tragedi ini akan menjadi amat mencabar.
“Malaysia bersedia untuk memberikan bantuan kepada saudara-saudara kita di PNG,” kata Anwar dalam hantaran di Facebook hari ini.
Gabenor Wilayah Enga, Peter Ipatas, berkata tanah runtuh itu dikhuatiri menyebabkan ratusan lagi penduduk tertimbus, selain ramai dilaporkan kehilangan nyawa dan harta benda.
“Ia adalah bencana alam yang pertama kali berlaku di wilayah ini sehingga menyebabkan kerosakan yang sebegitu besar,” katanya menurut laporan berita AFP.
Pasukan perubatan, tentera, polis dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah dikerahkan ke kawasan bencana untuk menilai kerosakan dan membantu mangsa yang cedera.-BH Online