Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia dijangka menerima sistem pengurusan bencana lebih sistematik, menggunakan teknologi baharu sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pemindahan teknologi itu dibuat menerusi memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Huawei, hari ini.

Bercakap pada sidang media selepas menyaksikan acara yang berlangsung di Shenzhen, China itu, Ahmad Zahid berkata, sistem pengurusan bencana itu mampu memberikan keberhasilan dalam tempoh singkat.

Beliau berkata, ia antara lain membolehkan proses perpindahan pengetahuan berlaku, terutama membabitkan tenaga pengajar dan pelajar TVET di Malaysia.

“Mereka memiliki sistem yang boleh memberikan keberhasilan dalam tempoh kira-kira 30 saat untuk dianalisa dan sebagai tanda amaran awal mengenai keadaan banjir, ribut atau lain-lain.

“Malaysia sangat mendambakan sistem seperti ini kerana kita menghadapi monsun Timur Laut dan Barat,” katanya tanpa menjelaskan perincian lanjut mengenai sistem pengurusan bencana berkenaan.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid kini dalam rangka kerja ke China hingga 1 Jun ini, selepas dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu mengadakan lawatan rasmi ke republik berkenaan selepas menerima undangan daripada Timbalan Perdana Menteri China, Ding Xuexiang.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, perbincangan bersama Huawei turut memfokuskan usaha memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berpandukan teknologi terkini, antaranya kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan robotik.

“Huawei sudah berada di Malaysia selama 23 tahun dan mereka sudah memperkenalkan beberapa teknologi baharu seperti AI. (Teknologi AI) agak baharu di Malaysia, namun kita yakin usaha dilakukan Huawei ini akan dapat memindahkan, bukan sahaja teknologi tetapi ilmu ke negara kita.

“Seterusnya IoT yang juga menjadi bidang harus diberi peluang kepada pelajar TVET, diikuti bidang robotik yang pada hemat saya sudah lama di negara ini (China) tetapi baharu di Malaysia.

“Ini tentunya (membolehkan) lebih ramai tenaga yang boleh mengendalikan robotik (dan) sistem ini di negara kita. Banyak bidang lain yang akan diketengahkan dalam siri pertemuan bersama organisasi perniagaan lain kelak,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Mengenai kerjasama dengan Huawei, beliau berkata, organisasi berkenaan akan membuka premis baharu, selain menjadikan Malaysia sebagai ibu pejabatnya di rantau Asia Pasifik.

“Melalui pusat pentadbiran baharu ini, kita dapati komitmen Huawei untuk mewujudkan kira-kira 6,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia yang terbabit dalam sistem 5G atau 5GA yang sudahpun diperkenalkan di China, selain ia kini sedang dibawa ke Malaysia,” katanya.-BH Online