Wisma Putra akan berkongsi maklumat terkini insiden helikopter membawa Presiden Iran Seyyed Ebrahim Raisi dan Menteri Luar Dr Hossein Amirabdollahian yang dilaporkan mendarat cemas di kawasan pergunungan di barat laut Iran.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pihaknya dalam perjalanan pulang ke Malaysia daripada lawatan di Asia Tengah mengikuti rapat perkembangan kes ini.
“Bagaimanapun setakat ini difahamkan misi mencari dan menyelamat masih diteruskan biarpun berdepan cuaca buruk,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut mendoakan semua yang terlibat segera dijumpai dan berada dalam keadaan baik.
“Semoga khabar menyenangkan menjengah tidak lama lagi. Sebarang perkembangan lanjut mengenai insiden ini akan dimaklumkan segera melalui laman media sosial rasmi Wisma Putra,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan sebuah helikopter membawa Raisi, bersama sejumlah pegawai kanan dilaporkan terhempas di barat laut Iran, hari ini.
Setakat ini, belum ada maklumat lanjut berhubung sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan ataupun kerosakan dalam insiden berkenaan, menurut laporan Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Raisi dilaporkan sedang dalam perjalanan pulang dari sebuah majlis perasmian empangan di sempadan Iran-Azerbaijan, apabila helikopter dinaikinya itu terhempas ketika mahu mendarat di wilayah Varzaqan.
Selain Raisi dan Amirabdollahian, beberapa pegawai lagi dipercayai turut berada dalam helikopter berkenaan termasuk Gabenor Wilayah Azerbaijan Timur, Malek Rahmati; dan Imam Solat Jumaat di Tabriz, Hojjatoleslam Al Hashem.-BH Online