Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengambil tindakan tegas dengan membatalkan lesen agensi pelancongan jika didapati menyalahi peraturan.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata MOTAC mengambil maklum mengenai dakwaan 300 jemaah haji yang terkandas di Makkah akibat terpedaya dengan pakej haji murah oleh agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab.

“Saya sedang meneliti insiden ini dan berdasarkan maklumat yang saya terima, 300 jemaah haji yang pergi ke Makkah ini telah dimaklumkan bahawa pas pelancong yang mereka gunakan boleh ditukarkan kepada umrah atau haji,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

King Sing berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Setiausaha MOTAC untuk menyiasat dengan teliti dan memahami insiden ini, tidak kira ia berita palsu atau sahih.

Beliau berkata, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan ini, lesen pelancongan mereka akan dibatalkan serta-merta. 

“MOTAC sedang menunggu laporan penuh daripada mereka dan sekiranya diperlukan, pihak kementerian akan menghantar pegawai dari ibu pejabat untuk turun padang.

“MOTAC akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap agensi pelancongan yang dilesenkan oleh kementerian ini jika terbukti terlibat dalam penyalahgunaan visa pelancong dan visa umrah untuk tujuan ibadah haji,” katanya. 

Beliau menegaskan, MOTAC memandang serius perkara tersebut kerana kejadian itu melibatkan kepentingan dan keselamatan jemaah, selain menghalang berlakunya perkara yang tidak diingini dan secara tidak langsung, menjaga hubungan baik yang telah terjalin antara Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi. 

“Insiden ini telah berulang kali terjadi dan rakyat kita yang sering menjadi mangsa. Saya telah menegaskan perkara ini beberapa kali sebelum ini. 

“Tetapi, mungkin ada sesetengah pihak yang memandang remeh perkara ini dan tidak percaya kementerian akan mengambil tindakan tegas atas kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan, jemaah yang terkandas untuk membuat laporan kepada Tabung Haji (TH) dan pihak kedutaan Malaysia di Jeddah, Arab Saudi bagi mendapatkan khidmat bantuan dan nasihat.

Katanya, tindakan seperti ini bukan sahaja melanggar peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, tetapi juga meletakkan keselamatan dan kepentingan jemaah dalam risiko di Arab Saudi.

Beliau juga mengingatkan semua pihak untuk sentiasa berwaspada dan memastikan bahawa mereka hanya berurusan dengan pihak yang sah dan diiktiraf.-BH Online