Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta syarikat pengendali air meningkatkan kecekapan operasi bagi berdepan cuaca panas dan kering sepanjang tempoh Monsun Barat Daya yang bermula bulan ini sehingga September depan.

Timbalan Perdana Menteri turut mengarahkan syarikat pengendali air menyediakan logistik bagi memobilisasikan bekalan berkenaan ke kawasan terjejas.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri (JPBN) diminta untuk mengambil langkah yang sewajarnya untuk bersama menghadapi situasi ini dengan meminta pengendali air untuk meningkatkan kecekapan operasi mereka serta menyediakan sokongan logistik untuk memobilisasi bekalan air ke kawasan terjejas.

“Bagi operasi untuk memadam sebarang kebakaran, agensi tindak balas pula berada pada tahap siap siaga dengan persediaan logistik sewajarnya untuk menghadapi kebakaran terbuka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bilangan 1 2024 di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat mengambil maklum mengenai Sistem Pangkalan Data Hidrogeologi (myGEMS) milik Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta ketersediaan sumber air bawah tanah yang boleh diguna pakai sebagai sumber air alternatif.

Katanya, ia termasuk untuk pemadaman kebakaran di kawasan tanah gambut dengan terdapat 640 telaga aktif untuk kegunaan domestik dan 104 telaga di kawasan gambut serta hutan dengan kapasiti 176.13 juta liter sehari (MLD). 

“Secara relatifnya, Monsun Barat Daya dijangka membawa cuaca yang lebih kering dan kebanyakan negeri akan mengalami lebih banyak bilangan hari tanpa hujan.

“Ini akan menyebabkan pelbagai impak negatif meliputi kesan kesihatan, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan dan belukar, jerebu, dan sekiranya berpanjangan, kekurangan hasil pertanian,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan bahawa sejumlah 2,030 kes pembakaran terbuka disiasat dengan sembilan kes dibawa ke mahkamah, 630 dirujuk ke agensi lain, manakala 100 kompaun berjumlah RM200,000 dikeluarkan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 April lalu.

“Saya juga mengingatkan semua agensi yang terbabit sentiasa mengambil langkah aktif dalam mengurangkan risiko bencana yang mana ia boleh dilaksanakan melalui tadbir urus yang cekap berlandaskan pengurangan risiko bencana dalam perancangan pembangunan.

“Ini termasuk dalam guna tanah dan pengurusan air manakala penyelenggaraan yang tertakluk di bawah kuasa negeri perlu diberikan penekanan bagi mengelakkan bencana daripada terus berlaku serta memastikan pembangunan mampan untuk kesejahteraan rakyat khususnya generasi akan datang,” katanya.

Pada mesyuarat itu, Ahmad Zahid turut melancarkan Buku Garis Panduan Pelaksanaan Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) di Malaysia. 

Buku garis panduan itu dihasilkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Kolej Pengajian Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam serta sokongan daripada agensi Kerajaan, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO).

Ia bertujuan memastikan program CBDRM dapat dilaksanakan secara efektif di setiap peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di negeri dan daerah serta menyeragamkan pelaksanaan program CBDRM di Malaysia selaras dengan matlamat untuk membentuk sebuah komuniti yang berdaya tahan terhadap bencana melalui aktiviti kesiapsiagaan. 

Garis panduan itu boleh dimuat turun di laman sesawang NADMA di www.nadma.gov.my.-BH Online