Malaysia dan Qatar sepakat menekankan keperluan gencatan senjata segera yang kekal antara Hamas dan Israel, selain kepentingan rundingan yang sedang berlangsung dalam usaha menamatkan kekejaman yang berlaku di Palestin.
Kesepakatan itu dicapai susulan pertemuan dua hala antara Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya yang juga Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Bin Jassim Al-Thani di sini, hari ini.
Turut serta dalam pertemuan itu adalah Duta Besar Malaysia ke Qatar, Zamshari Shaharan.
Dalam pertemuan berkenaan, Mohamad mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatnya itu atas peranan penting Qatar dalam usaha tanpa henti untuk menjadi perantara rundingan perdamaian antara Hamas dan Israel.
Wisma Putra melalui satu muat naik di Facebook berkata, Perdana Menteri Qatar turut berkongsi mengenai situasi di Asia Barat khususnya konflik Palestin-Israel yang memerlukan usaha berterusan berdasarkan kepada dinamik hubungan antara kuasa besar dan Israel.
“Kedua-dua belah pihak menekankan keperluan gencatan senjata segera yang kekal dan menekankan kepentingan rundingan yang sedang berlangsung.
“Ucapan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) semasa lawatan rasmi beliau ke Jerman dilihat sebagai titik perubahan pandangan komuniti global terhadap tindakan agresif dan genosid Israel terhadap Palestin,” katanya.
Mohamad berada di Doha bersempena lawatan rasmi Anwar atas jemputan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani,.
Selain bertemu Emir Qatar, Perdana Menteri yang dijangka tiba jam 9 malam ini (2 pagi waktu Malaysia) turut dijadual mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya itu esok.
Dalam pada itu, kedua-dua belah pihak turut menyentuh secara ringkas peranan Malaysia yang akan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN – GCC semasa Kepengerusian ASEAN Malaysia pada 2025.
Perkara utama yang dibincangkan semasa kunjungan hormat ini tertumpu dalam mengukuhkan hubungan dua hala melalui Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi (HLJC) dan Perjanjian Jaminan Pelaburan (IGA).
Mohamad turut memanjangkan jemputan kepada Perdana Menteri Qatar untuk melawat Malaysia.-BH Online